Kerajaan perlu segera melakukan langkah drastik untuk mengekang jangkitan kes Covid-19 daripada terus meningkat sehingga keadaan bertambah lebih buruk.
Ini kerana trend jangkitan kes sekarang merebak dengan cepat sehingga tidak tahu apa punca sebenarnya.
Biro Media Persatuan Doktor-Doktor Islam Malaysia, Dr Norzaidi Zakaria berkata, kenaikan kes yang berlaku sekarang bukan lagi disebabkan ujian saringan besar-besaran yang dilakukan di Selangor.
Lagipun pada masa sama Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia masih melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di lokaliti-lokaliti penularan.
Sebaliknya, lonjakan jangkitan disebabkan terlampau banyak kes kontak rapat, menyebabkan orang sekeliling dengan individu yang disahkan dijangkiti Covid-19 turut berjangkit.
Beliau yang terlibat secara langsung melakukan ujian saringan berkata, kes banyak berlaku di tempat kerja khususnya di kilang-kilang tertutup.
“Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian, saya mendapati kes banyak berpunca dari tempat kerja terutama kilang. Pekerja-pekerja kilang tinggal di asrama dan kehidupan mereka di asrama bercampur sebab itu jangkitan mudah merebak.
“Masalah kilang pula apabila ada seorang pekerja dijangkiti Covid-19, majikan tidak meminta pekerja-pekerja lain melakukan ujian saringan sebaliknya di suruh kuarantin selama 14 hari.
“Tetapi dalam tempoh 14 hari tu, pekerja-pekerja yang disuruh kuarantin ini tetap pergi ke kedai runcit, kedai makan. Mereka masih bebas bergerak kerana tidak melakukan ujian saringan, oleh sebab itu tidak memakai gelang.
“Inilah punca virus Covid-19 merebak dengan cepat dalam komuniti,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kes jangkitan Selangor yang terus melonjak tanpa ada tanda-tanda untuk reda sehingga menimbulkan rasa cemas.
“Memang dah tak boleh nak cakap apa sekarang ni,” ujar beliau.
Tambahnya, kilang tidak boleh lagi dipersalahkan 100 peratus kerana kawasan perumahan juga kini sudah menjadi punca merebaknya Covid-19.
Lebih membimbangkan, apabila jumlah individu-individu yang sudah lengkap disuntik tetapi dijangkiti turut bertambah.
“Beberapa bulan lepas ada kes tujuh beranak positif Covid-19, bermula dari bapa mereka. Bapa mereka sudah lengkap dos, dijangkiti Covid-19 dan meninggal dunia,” tambahnya.
Menurut beliau, dulu jika 40 ujian saringan dilakukan, jumlah positif antara empat atau lima kes sahaja tetapi sekarang dalam 100 yang datang lebih 20 positif.
“Angka ini untuk satu klinik sahaja, di Malaysia ada berapa banyak klinik yang buat saringan. Jadi kes penularan Covid-19 di Malaysia adalah real dan serius,” katanya.
Mengulas senario sekarang, Dr Norzaidi berkata, Persatuan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) pernah mengesyorkan supaya kerajaan melaksanakan total lockdown paling ketat dan paling tegas untuk tempoh dua minggu seperti mana yang pernah dilakukan pada Mac 2020.
Beliau berkata, total lockdown cara demikian adalah jalan terbaik yang kerajaan boleh lakukan untuk meredakan situasi di hospital-hospital Covid-19, mengambil kira kelelahan petugas-petugas kesihatan.
Lebih-lebih lagi, kerajaan juga perlu mengambil kira jumlah petugas yang turut dijangkiti, selain bekerja tanpa henti lebih setahun setengah dan kini terpaksa pula bergelut dengan varian-varian yang membimbangkan (VOC) iaitu Delta, Alpha dan Beta.
“Perdim pernah mencadangkan tutup betul-betul dua minggu, ya tutup betul-betul. Lepas itu bukalah semula untuk enam minggu dan kemudian tutup semula dua minggu.
“Melalui kaedah ini, KKM dapat membuat penilaian kes-kes dengan teratur dan mengatur strategi seterusnya. Dalam keadaan sekarang penting untuk kita redakan keadaan di hospital-hospital yang amat sesak,” tambahnya.
Dr Norzaidi berkata, apabila kes jangkitan sudah mencapai tahap hari ini, semua pihak perlu bekerjasama – bukan sahaja demi kesihatan rakyat tetapi juga kesejahteraan ekonomi.
Menurutnya,jika kes naik dan terus bertambah, keadaan tetap tidak akan membantu pada sektor ekonomi kerana orang ramai takut untuk keluar bekerja.
“Kita pernah berjaya mengawal Covid-19 pada peringkat awal, hingga satu tahap kita berjaya merekod sifar kes. Jadi kenapa kita tidak mahu melakukan strategi sama pada hari ini jika kaedah itu boleh meredakan keadaan,” soal beliau. – MalaysiaGazette