“Umat Islam wajib keluar mengundi”- Hadi Awang

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dalam nadanya yang tegas menyatakan umat islam wajib mengambil bahagian dalam politik serta memilih pemimpin.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menegur segelintir umat Islam yang dikatakan masih sambil lewa dalam kewajipan mengundi dan juga tidak mengambil pusing soal siapa yang akan menerajui pentadbiran.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, sebagai umat Islam kita perlu mengelakkan perpecahan dan pergaduhan yang hanya menyebabkan kerugian serta kehilangan kuasa politik.

“Jangan buat mudah (berfikir) kalau tak keluar mengundi tidak apa… jangan. Mengundi bermakna memberi kuasa politik pada siapa yang menang pilihan raya.

“Kalau kita tidak keluar mengundi, calon yang ‘merosakkan’ akan menang, akhirnya terimalah akibatnya, bahaya dan kemungkarannya di masa akan datang.

“Sebab itu saya menyeru supaya penduduk Kuala Kubu Baharu ini mengambil contoh yang berlaku di Kemaman, Terengganu, Perlis, Kelantan termasuk Melaka dan Perak (untuk) membuat perubahan (pada PRK).

“Tiada guna orang Islam berpecah, bukan kita mahu berperang, (tetapi) kuatkan kekuatan Islam, kita orang Islam jangan berlaga (bergaduh), jangan jadi lesung dan alu bertumbuk, yang kenyang ayam. Kita lawan sesama sendiri, kuasa politik jadi hak orang lain,” katanya.

Hadi Awang berkata demikian dalam ucapannya ketika Ceramah Perdana PN sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu di Bandar Utama, Batang Kali di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Baca juga: Sah! BERSATU hentikan keahlian 6 Ahli Parlimen sokong PM