TIMBALAN Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad, berkata parti itu akan mempertimbang kebenaran kerjasama dengan parti lain dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).
Beliau berkata, kepimpinan negeri boleh mengusulkan hal itu jika ada keperluan, sebelum ia dimuktamadkan kepimpinan Barisan Nasional (BN) Pusat.
“Kita belum putuskan lagi sama ada nak bekerjasama dengan siapa. Tetapi yang penting kita mestilah bersiap sedia menyiapkan jentera parti.
“Kemungkinan macam-macam. Jangan kita harapkan kekuatan dari luar untuk membantu kita menang. Mesti membina kekuatan dalaman kita sendiri.
“Itu terpulang kepada (BN) Melaka dan Melaka akan mencadangkan ke peringkat Pusat sebab negeri tak boleh buat keputusan sendiri. Ia mesti diluluskan dan mendapat kebenaran dari BN pusat. Kalau kita kata okay, bolehlah,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian selepas pertemuan dengan Jawatankuasa Biro Politik Umno Melaka, malam tadi.
Mengulas mengenai jentera BN dalam menghadapi PRN, Mohamad berkata, persiapan mesti dibuat sebaik mungkin dan kesiapsiagaan itu perlu diterjemahkan dengan membuka Pusat Daerah Mengundi (PDM).
“Tadi Datuk Seri Rauf sudah minta tubuh PDM mulai esok. Jentera di peringkat peti undi mesti bergerak dan membuat persiapan kesiapsiagaan menghadapi PRN yang bakal diadakan tidak lama lagi,” katanya.
Mengenai calon pula, Mohamad berkata perkara itu akan ditentukan melalui rundingan peringkat bahagian, sebelum diputuskan oleh kepemimpinan Umno Pusat.
Semalam, Perikatan Nasional (PN) Melaka menyatakan kesediaan berunding dengan Umno bagi mengelakkan pertembungan kerusi pada PRN.
Pengerusinya, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dilaporkan berkata, rundingan di antara Bersatu, Umno dan PAS penting bagi memastikan tiada pertandingan tiga penjuru ketika berdepan dengan calon Pakatan Harapan (PH). – Malaysiapost
sumber : https://malaysiapost.com.my/2021/10/06/prn-melaka-umno-akan-pertimbang-kerjasama-dengan-parti-lain-tok-mat/