UMNO bincang calon TPM malam ini, Mohamad Hassan atau Ismail Sabri

Umno dijangka akan bermesyuarat malam ini bagi membincangkan calon Timbalan Perdana Menteri dan syarat-syarat yang akan dikemukakan parti itu kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Menurut sumber parti itu, tiga nama menjadi sebutan untuk dicalonkan bagi jawatan itu iaitu Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Luar Hishammuddin Hussein.

“Ya, malam ini dijangka mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) Umno akan bersidang berhubung perkara itu

“Pucuk pimpinan Umno akan bermesyuarat bagi menentukan nama calon yang akan dihantar, dan juga syarat-syarat yang akan dikemukakan kepada Muhyiddin,” katanya ketika dihubungi.

Spekulasi mengenai calon timbalan perdana menteri dari Umno bertiup kencang semalam apabila Putrajaya dikatakan sedang menunggu nama yang akan diserahkan parti itu.

Antara nama yang disebut-sebut ialah Mohamad, Ismail dan juga Hishammuddin.

Sebuah portal melaporkan nama Setiausaha Agung BN Annuar Musa juga turut dikaitkan sebagai calon bagi mengisi jawatan itu.

Jawatan timbalan perdana menteri antara yang disuarakan pemimpin Umno sebagai syarat bagi parti itu untuk terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, sumber memaklumkan bahawa nama Hishammuddin agak tipis untuk dicalonkan bagi jawatan berkenaan.

“Nama Hishammuddin agak tipis untuk dicalonkan kerana ia mungkin tidak disenangi oleh ramai pemimpin Umno.

“Nama yang akan dipertimbangkan ialah Mohamad dan Ismail, untuk mewakili Umno bagi jawatan berkenaan,” katanya lagi.

Sementara itu beberapa orang ahli MT Umno ketika dihubungi mengesahkan malam ini berlangsung mesyuarat khas MT.

 

berita penuh: https://www.malaysiakini.com/news/548580