Umno gesa tambah baik kerjasama politik, sokong kerajaan PN

Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno malam ini mencapai keputusan untuk kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) namun menggesa penambahbaikan kerjasama berdasarkan nilai penghormatan dan konsensus politik.

Mesyuarat itu juga memutuskan untuk menolak kerjasama dengan PKR dan DAP.

“Majlis Kerja Tertinggi Umno mengekalkan keputusan terdahulu tanpa kerjasama PKR dan DAP.

“Ahli-ahli Parlimen Umno akan terus mendokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Umno menggesa ditambah baik prinsip kerjasama yang harus berpaksikan nilai penghormatan dan political consensus,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Majlis Tertinggi Umno bersidang malam ini dikatakan bagi membincangkan isu-isu yang dibangkitkan semasa mesyuarat Ahli Parlimen BN di Kuala Lumpur petang tadi.

Ia diadakan selepas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin gagal mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk pengisytiharan darurat, yang seterusnya menimbulkan tanda tanya terhadap sokongan Umno terhadap kerajaan PN.

Tindakan Muhyiddin memohon pengisytiharan darurat daripada Agong menerima reaksi bercanggah, dengan ada yang menyokong ia sebagai usaha memerangi Covid-19.

Sementara pihak yang tidak menyokong pengisytiharan darurat menyifatkan ia sebagai usaha Muhyiddin mempertahankan kedudukan susulan spekulasi yang mengatakan presiden Bersatu itu mungkin tidak lagi memegang sokongan majoriti di parlimen dan seterusnya akan kalah dalam undian Belanjawan 2021 bulan depan.

Agong menolak memberi perkenan terhadap cadangan Muhyiddin dengan menyifatkan bahawa tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat.

Baginda juga mengingatkan agar ahli politik tidak membuat tindakan yang boleh menjejaskan pentadbiran kerajaan.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, Zahid berkata pihaknya akur dengan keputusan Agong menolak pengisytiharan darurat dan menyifatkan ia sebagai bijaksana dan melegakan rakyat.

“Bagi Umno, keputusan yang turut diperbincangkan dengan Majlis Raja-Raja tersebut adalah amat bijaksana dan cukup melegakan rakyat,” katanya.

Ia juga menambah bahawa Umno mendokong sepenuhnya titah dan saranan baginda agar dikendurkan segala ketegangan politik dengan melakukan gencatan politik bagi memastikan kestabilan politik negara dapat terus dipertahankan.

 

“Menyarankan agar inisiatif Rekonsiliasi Nasional atau Agenda Perdamaian Nasional segera dilaksanakan dengan menggembleng penyertaan semua parti politik yang bernaung dalam Kerajaan Perikatan Nasional dan juga parti-parti pembangkang.

“Mencadangkan supaya kerajaan mengambil pendekatan yang lebih inklusif melangkaui perbezaan ideologi parti dalam menangani pandemik Covid-19 dan kesan negatif ekonomi yang dihadapi rakyat yang sedang susah dan gelisah,” katan kenyataan itu lagi.

Semua pemimpin parti yang hadir mesyuarat yang berlangsung selama tiga jam itu enggan bercakap kepada media ketika mereka beredar pada pukul 12.45 pagi.

Berita penuh: https://www.malaysiakini.com/news/548222