UMNO tidak berbangga berada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana menganggap belum ada kuasa penuh seperti sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebaliknya mendakwa sokongan UMNO dalam PN adalah untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Meskipun sebelah kaki kita berada di pentas kerajaan PN, tidak banyak boleh dibanggakan.
“Sokongan kita adalah untuk menjatuhkan kerajaan (PH), menamatkan pemerintahan dinasti, mengekang rejim penipuan dan gila kuasa selama 22 bulan.
“Ia banyak menyusahkan rakyat. Maruah negara pula tercemar di pentas dunia.
“UMNO belum ada kuasa penuh. UMNO juga tidak gila kuasa tetapi bertegas dengan hamparan masa depan lebih gemilang untuk anak cucu kita.
“Dengan Melayu sebagai teras pemerintahan dan Islam dijadikan tiang serinya, segala keterlanjuran silam boleh dielakkan,” katanya dalam perutusan sempena ulang tahun UMNO yang ke-74, hari ini.
PN terbentuk menerusi persefahaman antara Barisan Nasional (BN) yang dipimpin UMNO bersama PAS dalam Muafakat Nasional (MN) dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Persefahaman itu bersetuju melantik Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai Perdana Menteri.
Ahmad Zahid mengakui, masa depan parti berliku serta perjalanan masih jauh, sekali gus menuntut semua ahli bertekad untuk bersatu hati.
“Hentikan politik peribadi yang ternyata hampir membuat kita tempang selepas PRU-14,” katanya.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, UMNO juga perlu terus mengukuhkan hubungan dengan PAS menerusi persefahaman dalam MN.
“Murnikan dan buktikan lagi seperti dalam lima pilihan raya kecil (PRK) lalu. Kita boleh melangkah lebih jauh dan lebih mudah jika iltizam serta semangat kita kuat,” katanya.
Ahmad Zahid turut mengingatkan ahli bahawa sekarang bukan masa untuk parti ‘duduk bertimpuh’ dan ‘bertatih’ lagi, serta tidak menjadi seperti perosak.
“Kita mesti sedia dalam semua hal, termasuk barisan pemimpin masa depan. Sejauh mana kita mampu menyesuaikannya dengan geopolitik negara, kitalah yang mencorakkannya.
“Sempena ulang tahun ke-74 UMNO, saya merayu semua ahli menggenggam erat keris perjuangan parti, hentikan tabiat ‘api dalam sekam’ dan semarakkan semula semangat sejarah penubuhannya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau melahirkan rasa syukur kerana UMNO masih mampu berdiri megah untuk bangsa, agama dan negara pada usia 74 tahun.
Katanya, UMNO bukan lagi parti eksklusif untuk Melayu tetapi turut memayungi bangsa lain ke arah satu aspirasi nasional.
Beliau berkata, penularan COVID-19 ketika ini membatasi kegiatan parti, termasuk mesyuarat bahagian dan cawangan yang terpaksa ditunda.
Namun, katanya, semua bahagian terus sibuk membantu rakyat, sekali gus membuktikan keprihatinan UMNO.