Tun Dr Mahathir Mohamad bakal nak cecah usia 99 tahun pada 10 Julai nanti tetapi bekas Perdana Menteri dua kali itu ada saja hal mahu disuarakannya.
Terkini, bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu mendakwa undang-undang pada masa ini digunakan untuk ‘mengancam rakyat’.
Dakwaannya menerusi platform X pada 17 April itu kemudian dilihat mengundang reaksi netizen yang tidak menyebelahinya.
Rata-rata menasihatkan Mahathir fokus kepada tahap kesihatan serta keluarga termasuk isteri dan cucu-cucunya.
Netizen juga mengingatkan Mahathir supaya hal pentadbiran negara pada masa ini serah saja pada kebijaksanaan kerajaan sedia ada yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim sambil rakyat menjadi semak dan imbang.
Terdahulu, menerusi kenyataan di X, Mahathir berkata, ancaman dibuat kepada mana-mana pihak yang gagal mematuhi arahan yang dibuat oleh kerajaan.
Pemimpin yang kebelakangan ini kerap keluar masuk Institut Jantung Negara (IJN) itu mendakwa tuntutan yang dibuat terhadap mereka sukar dipatuhi.
Jelas bekas Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, proses tersebut memerlukan penyelidikan besar-besaran terhadap semua transaksi dalam tempoh 40 tahun yang lalu.
“Kebanyakan orang tidak menyimpan rekod aktiviti mereka dalam tempoh masa yang panjang itu.
“Tetapi, kegagalan untuk melaporkan sebarang tindakan boleh ditafsirkan sebagai sengaja menahan maklumat.
“Ia boleh mengakibatkan tindakan undang-undang yang mahal dan berpanjangan. Ia boleh mengakibatkan penjara. Itulah ancamannya.
“Kita percaya kepada keluhuran undang-undang.
“Kita beranggapan undang-undang dibuat untuk melindungi kita.
“Tapi kini kita lihat undang-undang digunakan untuk mengancam kita,” dakwa Mahathir lagi.
BACA JUGA Jangan terkejut lelaki yang cuba tembak isteri di KLIA itu hafal a-Quran