Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Masidi Manjun mengesahkan Veveonah Mosibin menduduki peperiksaan akhir semester pada 9 hingga 12 Jun lalu.
Perkara itu disahkan selepas beliau mengadakan pertemuan dengan timbalan naib canselor dan pengarah pusat asasi sains UMS, hari ini.
“Memang betul (Veveonah duduki peperiksaan akhir secara dalam talian), dokumen juga telah ditunjukkan sebagai bukti,” katanya ketika dihubungi FMT.
Ketika ditanya mengenai catatan ahli Parlimen Kudat, Abdul Rahim Bakri di Facebook yang mendakwa pihak UMS menerusi seorang dekan mengesahkan tiada sebarang peperiksaan akhir dibuat secara dalam talian, Masidi berkata ia memang benar namun hanya bagi kursus ijazah
“Dekan bukan orang yang bertanggungjawab mengendalikan kursus asasi sains dan ia bukan fakulti yang diketuai seorang pengarah.
“Memang tiada peperiksaan secara ‘online’ bagi kursus ijazah tetapi bagi peperiksaan kursus asasi sains atau pra sains, ianya ada,” katanya.
Veveonah menjadi tular selepas memuat naik rakaman video di saluran YouTubenya 3 bulan lalu menunjukkan dia menghabiskan 24 jam di atas pokok dalam hutan untuk mendapat capaian internet terbaik bagi menduduki peperiksaan dalam talian.
Minggu lalu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin dilaporkan mendakwa Veveonah ialah seorang YouTuber dan memalsukan peperiksaan dalam talian untuk menambah pengikut saluran videonya.
Beliau kemudian memohon maaf kepada Vevenoah kerana menerima “maklumat tidak tepat” berhubung perkara itu.
Bagaimanapun, Rahim menerusi catatan di Facebook semalam, berkata Veveonah tinggal di pekan dan keluarganya tidak lagi mempunyai rumah di kampung, di mana gadis itu mendakwa terpaksa memanjat pokok untuk menduduki peperiksaan.
Beliau mendakwa Veveonah sengaja “membuat drama” untuk mendapat perhatian dan publisiti.
Catatan timbalan menteri kewangan itu mencetuskan kemarahan netizen sehingga mendorong beliau memadamnya.
Abang pertahan Veveonah, Rahim dapat maklumat salah
Sementara itu, abang kepada Veveonah, Meksin ketika dihubungi FMT hari ini turut mempertahankan adiknya.
Katanya, Rahim mendapat maklumat salah berhubung sama ada mereka sekeluarga masih tinggal di Kampung Sapatalang, Pitas, atau sebaliknya.
“Walaupun keluarga kami tinggal di Pitas kerana bapa kami bekerja di Koperasi Pembangunan Desa (KPD), namun kami kerap balik ke Sapatalang yang jaraknya kira-kira 30 minit dari pekan Pitas menggunakan kenderaan.
“Selain balik ke Sapatalang iaitu kampung bapa kami, kami juga ke kampung ibu di Solimpodon yang terletak berhampiran. Rumah lama kami di Sapatalang sudah dirobohkan kerana ia sudah usang tetapi seorang lagi abang kami ada rumah baru di sana yang kini masih dalam pembinaan,” katanya.
Meksin berkata, mereka kini tinggal sementara di rumah yang sebelum ini adalah sebuah gereja (tidak jauh dari rumah abang mereka) iaitu rumah yang Veveonah sering tinggal.
“Jadi apa yang dikatakan timbalan menteri serta ketua kampung yang kami tidak mempunyai rumah di Sapatalang, seperti dalam hantaran di Facebook semalam adalah tidak benar.
“Ia sangat menyakitkan, siapa tidak sakit hati apabila kamu tahu kamu benar tetapi orang masih mengatakan sebaliknya,” katanya.