Seorang warga asing di Sabah mengejutkan rakyat Malaysia apabila dia boleh selamba selama 29 tahun ‘mengajar’ menjadi guru sekolah kerajaan.
Akhirnya pada 22 Februari 2024, ‘Cikgu Ridal’ dikenakan hukuman penjara 10 bulan dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Keningau.
Hukuman itu atas kesalahan menggunakan kad pengenalan palsu untuk bekerja sebagai guru di sebuah sekolah di Tenom, hampir tiga dekad!
Majistret Nur Asyraf Zolhani menjatuhkan hukuman itu terhadap Ridal Abdul Kadir, 53, selepas tertuduh mengaku bersalah.
Lelaki itu diarah menjalani hukuman berkenaan dari tarikh tangkap pada 29 Januari lalu.
Sekiranya gagal membayar denda, dia akan dikenakan penjara tambahan selama enam bulan. Tertuduh membayar denda berkenaan.
Ridal didakwa mengikut Seksyen 25 (1) (e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau dengan kedua-duanya sekali.
Berdasarkan fakta kes, pada 11.30 pagi, 29 Januari lalu satu pemeriksaan dokumen telah dijalankan di kawasan letak kenderaan, kuarters guru sekolah itu.
Dia kemudiannya ditahan kerana disyaki memiliki kad pengenalan palsu bernombor 700711-12-5369 atas nama Ridal Bin Abdul Kadir.
Semakan lanjut dibuat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati tertuduh disyaki menggunakan kad pengenalan bertaraf warganegara yang palsu dengan nombor dan nama tersebut untuk bekerja sebagai guru di sekolah itu.
Semakan rekod mendapati kad pengenalan dengan nombor dan nama sama pernah dikeluarkan oleh JPN tetapi dengan taraf Pemastautin Sementara.
Tertuduh juga didapati memiliki Dokumen Pengenalan Sementara dengan nombor serta nama sama dan Daftar Kelahiran bertaraf bukan warganegara sebagai dokumen pengenalan dirinya.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa JPN, Mohd Naser Mohd Naser Mohd Nadzeri memohon agar hukuman dalam bentuk pencegahan dikenakan kepada tertuduh.
Beliau berkata, hukuman dipohon itu adalah mengambil kira kepentingan awam dan keadilan sosial, selain memiliki dokumen pengenalan diri palsu sebagai dokumen pengenalan diri adalah suatu tindakan yang salah dan tidak bertanggungjawab.
Peguam yang mewakili Ridal, Korventt Wheezar pula meminta hukuman ke atas tertuduh diringankan.
Jelasnya, hal ini memandangkan kerana sepanjang 29 tahun mengajar di sekolah itu, tertuduh tidak pernah melakukan sebarang kesalahan jenayah.
Ridal juga, tambahnya, sentiasa berkelakuan baik, selain mengaku salah dalam kes mengejutkan itu.