‘Usia 13 tahun keluarga orang susah, kadang buat 2 syif. Kalau isteri tak kuat saya pun tak kuat’

Sepasang suami isteri mengundang rasa simpati pengguna media sosial apabila sanggup bekerja keras dengan berniaga makanan ketika usia mereka yang masih muda.

Menerusi video yang dimuat naik oleh @bosmel di akaun TikTok, kelihatan si isteri sedang sarat mengandung berusia 20 tahun berperanan membantu suaminya dalam membungkus dan mengambil pesanan makanan.

Si suami yang berusia 21 tahun sebagai penebar roti canai pula berkata, sejak berusia 13 tahun, kehidupan dirinya sekeluarga sememangnya susah.

“Daripada saya umur 13 tahun, saya punya mak bapa susah. Kita nak buat duit pun susah, pergi sekolah pun susah. Tidak sihat pun kena datang juga (berniaga).

“Kadang-kadang saya buat dua syif. Pagi dalam pukul 4 pagi pun kerja, malam pun kerja. Bukan sinilah (berniaga) tempat lainlah.

“Sekarang penat tak tahu apa itu penat. Kalau dia (isteri) tak kuat, saya pun tak kuatlah,” katanya.

Difahamkan kedua-dua mereka berniaga dengan membuka gerai ‘foodtruck’ di Jalan Gangsa, Jitra Kedah bermula pukul 6 petang sehingga 11.30 malam.

Sehingga kini video tersebut mendapat 610,300 tontonan, 72,900 tanda suka dan 3,582 perkongsian.

@bosmel

ibu mengandung tapi tetap kerja keras tolong suami 🥲

♬ original sound – Bosmel – Bosmel

Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang kagum melihat kematangan kedua-dua pasangan itu yang sanggup bekerja keras untuk mencari rezeki yang halal.

“Wah baru 21 tahun. Tapi gaya sangat matang. Rajin bekerja. Semoga dimurahkan rezeki mereka sekeluarga,” komen Seydudu.

“Hebat dia, 21 tahun dah ada lori ‘foodtruck’ sendiri buat bisnes. Semoga dipermudahkan segala-galanya,” komen Nurul Izwani.

“Dari umur 13 tahun menjadi dewasa kerana keadaan. Tabik abang dan kakak ni. Semoga murah rezeki kalian,” komen Maisya.

“Macam inikah orang kata rakyat Malaysia malas usaha. Sampai tak tahu rasa penat tu apa. Dunia ni keras. Semoga Allah selalu sayang hamba-hambanya,” komen Nur Azam dipeti Kosmo.

Baca juga: Betul apa yang Rosyam Nor cakap- Kak KM maki hamun suami minta maaf pun tak ada