Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan majlis ilmu Siri Syarahan Kehormat MADANI mengenai Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi di Seri Perdana malam tadi, turut menjadi perhatian adalah Ustaz Wadi Annuar.
Kehadiran Ustaz Wadi menimbulkan tanda-tanya ramai pihak sama ada dia menyatakan sokongan kepada Anwar atau tidak.
Syarahan pada malam itu menampilkan dua orang anakanda Almarhum Shaykh Dr Yusuf al-Qaradawi iaitu Dr Muhammad al-Qaradawi dan Abdul Rahman al-Qaradawi.
Mereka berdua berkongsi gagasan ilmu yang dibawa oleh ayahanda mereka dalam usaha menyebarkan dakwah ke seluruh dunia.
Di samping itu, turut disampaikan kepada YAB Perdana Menteri Mawsu’ah Yusuf Al-Qaradawi yang mengandungi 105 buah jilid.
Ensiklopedia tersebut mengandungi karya dan butir mutiara pemikiran sepanjang hidup Almarhum Shaykh Dr Yusuf al-Qaradawi. Semoga Allah merahmati beliau.
Anwar dalam ucapannya berkata beliau amat terharu dengan kehadiran anak-anak Almarhum Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi yang sudi berkongsi mengenai biografi dan perjuangan Syeikh Yusof.
“Ini merupakan satu program penting dan pada masa sama menyentuh perasaan saya. Saya rasa sangat terharu semasa dapat tahu Muhammad hubungi saya berhajat ingin serahkan karya besar Syeikh Yusuf sebagai tanda ingatan kepada saya.
Saya dan rakan-rakan di Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), sebenarnya dekat dengan Syeikh Yusuf, … menjiwai perjuangan yang membawa mesej Islam. Beliau membantu kita dengan keadaan kebangkitan Islam (ketika itu) dan kemaraan anak muda, serta memberi ingatan perlu berhikmah dan kesabaran (berdakwah),” katanya.
Sepanjang hayatnya, Allahyarham telah menghasilkan lebih 120 buah buku termasuk naskhah perundangan Islam serta menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa.
Atas jasa baktinya dalam dunia Islam, Kerajaan Malaysia telah menganugerahkan Syeikh Yusuf Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa pada 2009.
Pada majlis itu, Muhammad menyerahkan Ensiklopedia Himpunan-Himpunan Yang Lengkap Bagi Al-Imam Yusuf Al Qaradawi, yang antaranya menghimpunkan karya-karya Allahyarham dalam bidang akidah, feqah, ilmu agama, fatwa-fatwa, tasawuf, tafsir, hadis, sejarah, pemikiran dan khutbah.
Turut hadir pada majlis itu ialah isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.