Pendakwah terkenal, Ustazah Asma harun hari ini menggemparkan media sosial apabila mendakwa lelaki yang tidak solat jumaat di waktu pandemik dikira berdosa(Video di bawah) . Dr Rozaimi tampil menjawab spekulasi ini :-
Saya rasa terpanggil untuk membuat sedikit ulasan sedikit ulasan terhadap video ustazah ini. Memandangkan ia telah tersebar dan saya bimbang ia menjadi kegusaran masyarakat maka saya buat sedikit ulasan terbuka. Berikut ulasan saya:
1. Saya bersetuju dengan beliau bahawa kita perlu sentiasa bertaubat. Bahkan taubat wajib dilakukan setelah melakukan dosa. Ini tiada bantahan padanya.
2. Solat taubat tidaklah wajib. Ia termasuk dalam perkara sunat. Di sini saya lihat ustazah terlepas cakap. Saya kira ia termasuk dalam Sabqul Lisan (perkara yang tidak disengajakan).
3. Meninggalkan solat Jumaat bagi lelaki sebanyak 3 kali sememangnya disebut dalam hadis. Cuma hadis menyebutkan bahawa meninggalkan solat Jumaat sebanyak 3 kali TANPA UZUR. Nabi sallallah alaih wasallam bersabda:
مَنْ تَرَكَ ثَلَاثَ جُمَعٍ تَهَاوُنًا بِهَا طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قَلْبِهِ
Maksudnya: Sesiapa yang meninggalkan solat Jumaat 3 kali tanpa uzur Allah akan tutup jiwanya. (HR Abu Daud dengan sanad sahih)
Hadis ini tidak merangkumi orang yang meninggalkan solat Jumaat kerana ada uzur. Dalam keadaan pandemik yang berleluasa dan tidak terkawal sekarang ini, apabila Ulil Amri meletakkan ketetapan berdasarkan pertimbangan data dan nasihat KKM maka rakyat perlu patuhi.
Jika ada pihak yang tidak dapat menghadiri solat Jumaat setelah berusaha untuk hadir maka ia termasuk dalam keuzuran yang dimaafkan. Ia tidak menjadi dosa tambahan pula ketakutan yang “valid” memang ada dibincangkan dalam kitab fiqh sebagai uzur untuk meninggalkan solat Jumaat.
4. Justeru, orang yang meninggalkan solat Jumaat dalam keadaan uzur sewaktu pandemik ini tidaklah dianggap berdosa. Walaupun begitu tidak salah untuk sentiasa bertaubat untuk dosa-dosa yang lain.
5. Saya bimbang jika penjelasan ini tidak dibuat maka orang ramai akan gelisah.
6. Walau bagaimanapun, saya bersetuju untuk kita katakan siapa yang ada peluang untuk hadir lalu melengahkannya termasuk dalam orang yang meringankan kewajipan solat Jumaat.
Wallahua’lam.
Dr Rozaimi Ramle