Usul percaya Ismail Sabri, akhirnya speaker buka mulut

Semua usul yang bakal dikemukakan pada sidang parlimen akan datang dapat diketahui minggu ini dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM), kata Timbalan Yang di-Pertuan Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon.

Kata Rashid, ini termasuk undi percaya terhadap Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob di parlimen.

“Semua urusan-urusan ini ada dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM), jadi kena tunggu AUM keluar. AUM dijangka keluar dalam minggu ini,” katanya ringkas kepada Malaysiakini.

Rashid berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada Speaker Dewan Rakyat ada menerima usul undi percaya terhadap perdana menteri atau tidak.

Terdahulu, Peguam Negara Idrus Harun memaklumkan tiada keperluan undi percay di parlimen untuk mengabsahkan pelantikan perdana menteri dan kerajaan yang sudah dibentuk mengikut lunas undang-undang.

Idrus berkata, nama bakal perdana menteri daripada kesemua 220 Ahli Dewan Rakyat juga telah dikemukakan kepada pihak Istana Negara menerusi surat akuan pada 18 Ogos lalu.

Susulan itu, jelasnya Seri Paduka sudah berkenan menerima menghadap seramai 114 Ahli Dewan Rakyat pada 19 Ogos lalu, untuk mengesahkan kepercayaan mereka kepada MP Bera Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri kesembilan.

Bagaimanapun, kenyataan Idrus itu mengundang kritikan banyak pihak antaranya pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang menyatakan rasa terkejut dengan kenyataan peguam negara itu.

Menurut mereka, kenyataan Idrus bertentangan dengan titah Yang di-Pertuan Agong kepada semua ketua parti sewaktu sesi menghadap baginda di Istana Negara pada 17 Ogos lalu yang memutuskan perdana menteri baru mesti mengusulkan undi percaya secepat mungkin.

Ismail Sabri mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan serta sumpah taat setia dan juga sumpah simpan rahsia di hadapan Seri Paduka menurut kehendak Perkara 43(6) Perlembagaan Persekutuan pada 21 Ogos lalu.

sumber : https://www.malaysiakini.com/news/590171