Video paling positif untuk kes Zayn Rayyan, wanita ini beri inspirasi pentingnya jaga tutur kata

Seorang TikTokers yang juga ahli terapi pemulihan cara kerja menarik perhatian orang ramai apabila video reaksinya berhubung kes bunuh Zayn Rayyan Abdul Matiin dianggap paling positif pernah dihasilkan.

Menerusi video berdurasi hampir 13 minit itu, pengasas Little Rehab berkenaan berkongsikan pengalamannya semasa zaman kanak-kanak mengendalikan adik yang istimewa.

“Saya pernah rasa dipinggirkan terpaksa kerap ditinggalkan di rumah kerana ibu bapa lebih banyak beri tumpuan dan masa kepada adik untuk rawatan di hospital.

“Waktu saya bergaduh dengan adik, saya anggap dia macam normal.

“Pernah ada ketika saya nak tinggalkan adik saya di taman permainan,” katanya selepas membaca kronologi terperinci pembunuhan Zayn Rayyan yang dipercayai hasil soal siasat polis yang disebarkan oleh platform Edisi Siasat.

Wanita yang mengaku sudah 17 tahun berada dalam bidang rehabilitasi mengendalikan anak-anak istimewa itu berkata,beliau semakin sedar tentang tanggungjawab menjaga golongan terbabit.

“Semasa dewasa, baru saya sedar. Oleh itu, dalam kes Zayn Rayyan ini, jika ibu bapanya didapati bersalah sekalipun, ini adalah ujian untuk mereka.

“Apabila kita ada ilmu dalam mengatasi emosi, Alhamdulillah tidak berlaku perkara yang bukan-bukan,” ujarnya.

Oleh sebab itu, beliau berharap warga kerja Little Rehab sentiasa bersabar dalam mendidik dan membimbing anak-anak berkeperluan khas.

“Apabila ada anak istimewa, pandangan orang sekeliling macam-macam,” katanya.

Beliau kemudian sebak menceritakan kembali tentang individu yang mengeluarkan kata-kata yang amat mengguris perasaannya.

Namun, beliau telah memaafkan Wanita tua itu dan yakin menjaga anak-anak istimewa bukan perkara yang sia-sia.

“Detik dia pergi (meninggal dunia) itu, saya sudah maafkan dia.

“Masyarakat termasuk ahli keluarga cukuplah mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya kepada mereka yang ada anak istimewa,” nasihatnya lagi.

Rata-rata memuji luahan hati beliau dan berpendapat telah memberi inspirasi kepada orang lain terutamanya mereka yang menjaga anak-anak istimewa seperti yang tergolong alam kumpulan autisme dan Sindrom Down.

“Saya sangat setuju dengan Puan, dan sukar nak jelaskan perasaan ibu bapa yang ada anak yang sakit, perasaan bercampur baur, berperang sesama sendiri, terlalu rumit untuk kita tanggung. Orang hanya tahu nak menghukum.

“The real truth.. sampai sekarang saya terasa hati dengan mak mertua saya walaupun dia dah tak ada sebab dia pernah label anak saya “kurang sikit” depan saudara mara.

“Saya sebagai ibu bapa anak syurga memang setuju dengan kata-kata akak ni terasa sangat. Be strong everyone who like me.

“Benar dan setuju, semua ini teguran buat kita semua. Berhati-hatilah dalam berkata-kata,” demikian antara komentar netizen.

BACA JUGA Banyak sebab dua pusat peranginan di Malaysia ini masuk dalam senarai 10 Pulau Terbaik Asia 2024