Video sabun pencuci dapat 2.3 juta tontonan! Pasangan murah hati kongsi resepi tahan 2 bulan

Pasangan suami isteri ini memukau para penonton di tiktok dengan menunjukkan daya kreativiti melalui pembuatan sabun pencuci pinggan menggunakan limau nipis, yang pada masa yang sama membantu mereka mengurangkan perbelanjaan bulanan.

Hasrulnizam Azmi, 43, dan isterinya, Marinah Abdullah, 48, dari Kampung Tengah di sini, telah menghasilkan sabun pencuci untuk digunakan di rumah dan kedai makan mereka selama dua tahun.

Hasrulnizam berkata idea ini bertujuan untuk membantu mengurangkan beban kewangan dan kerana kos sara hidup semakin meningkat.

“Bahan digunakan ringkas saja, hanya limau purut atau nipis, sedikit garam halus, air dan N17 (bahan pencuci untuk menghasilkan buih) serta pewarna makanan. Limau itu perlu dimasak sehingga hancur atau boleh juga dikisar.

“Selepas itu campurkan semua bahan itu untuk dibancuh dan saya menggunakan sekilogram limau dan N17 untuk menghasilkan 30 liter sabun pencuci yang bertahan dua bulan di rumah, manakala di kedai makan bertahan sebulan,” katanya.

Katanya, “resipi” asal sabun ini berasal dari kampung halaman isterinya di Khumpawapi, Udonthani, Thailand, di mana penduduk tempatan gemar menghasilkan barangan sendiri seperti gula dan menanam serta menuai padi sendiri.

“Sabun pencuci selamat digunakan selain bersih dan wangi, cuma kurang pekat. Kos pembuatannya tidak mahal dengan anggaran sebulan RM20 kerana saya ada pokok limau sendiri dan harga N17 hanya RM12 sekilogram.

“Dalam situasi ekonomi ketika ini memang membantu menjimatkan belanja bulanan apatah lagi kami berniaga di kedai makan. Sebelum ini kami peruntuk RM120 hingga RM150 sebulan untuk beli sabun pencuci,” katanya.

Tiktok

Berhubung perkongsian ini di TikTok, bapa tiga anak tersebut menyatakan bahawa dia hanya berkongsi kemahiran isterinya, namun dia tidak menjangkakan video tersebut akan menarik perhatian netizen.

“Video itu diambil spontan untuk berkongsi cara pembuatan sabun digunakan meluas di kampung isteri. Ada juga netizen yang komen mahu beli, tetapi saya tidak jual dan hanya untuk kegunaan sendiri.

“Tetapi saya gembira kalau perkongsian video itu memberi manfaat kepada netizen untuk belajar hasilkan sabun pencuci untuk kegunaan sendiri dan dapat berjimat.

Baca juga: Diva AA tuntut penganjur mohon maaf, bengang bayaran tak sama ‘level’- “Mereka berkali-kali kata tak ada bajet”