Jalan raya bukan milik kita seorang dan berilah laluan jika ada kereta lain yang mahu memotong terutamanya di jalan raya satu lorong.
Seperti dipetik thevovket, biasanya majoriti daripada kita akan memberi laluan kenderaan lain untuk memotong jika kita memandu perlahan. Jalan raya dengan garis putih putus-putus adalah tempat yang sesuai untuk kereta memotong jika tiada kenderaan lain di arah bertentangan.
Namun lain pula jadinya dalam video yang dikongsikan dalam kumpulan DashCam Owners Malaysia. Seorang pengguna Facebook Fairuz Hakim berkongsikan kejadian sebuah kereta Perodua Myvi putih yang dilihat sengaja tidak mahu memberi jalan untuk kereta lain memotongnya.
Kejadian dikatakan berlaku di Jalan Tanjung Sepat, Sepang. Dalam video tersebut, pemilik dash cam dilihat memotong dua kenderaan. Tiada masalah apabila memotong kenderaan pertama tetapi lain pula jadinya apabila dia cuba memotong kereta Myvi Putih di hadapannya.
Ketika kereta berkenaan sedia untuk memotong, Myvi berkenaan yang pada mulanya pada kelajuan biasa tiba-tiba turut sama memecut ibarat tidak mahu memberi jalan kepada kereta di belakang untuk memotongnya.
Terdengar suara penumpang kereta tersebut yang sedikit panik kerana sudah tidak ‘lepas’ lagi untuk memotong kerana sudah hampir dengan kenderaan dari arah hadapan.
Pemilik dashcam terbabit terpaksa mengalah dan kembali berada di belakang Myvi. Rata-rata netizen yang melihat video berkenaan menzahirkan rasa kecewa dan marah mereka terhadap pemandu Myvi tersebut.
Tindakannya itu didakwa boleh menyebabkan kemalangan kepada kenderaan lain dan bernasib baik pemilik dashcam tidak terus memecut dan mengalah kepada Myvi putih tersebut.
Ada netizen yang memberi pandangan perkara seperti ini juga merupakan salah satu contoh buli di atas di jalan raya.
Pengajarannya, sentiasa bertimbang rasa kepada pengguna jalan raya yang lain kerana semua pengguna mahu tiba ke destinasi yang dituju dengan selamat.