Villa milik Rauf jadi tempat berkumpul pemimpin utama BN sebelum penamaan calon

Villa milik calon Ketua Menteri (KM) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menjadi tempat berkumpul pemimpin besar UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi menyatakan sokongan kepada calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara itu.

Pemimpin utama UMNO, Datuk Seri Najib Razak dan Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan serta beberapa pemimpin lain berada di villa yang difahamkan milik Rauf sebelum ke pusat penamaan calon di Dewan Kompleks Japerun Tanjung Bidara pagi ini.

Najib dan Mohamad juga sempat bersarapan bersama Rauf bagi memberi sokongan padu kepada calon KM tersebut.

Menurut sumber, Barisan Nasional (BN) sangat yakin Rauf mampu membawa kemenangan besar kepada mereka dalam PRN Melaka kali ini walaupun terpalit dengan dakwaan mengawal projek pasir di negeri tersebut.

Rauf juga dikatakan menjadi punca pergaduhan dengan sesama pemimpin UMNO Melaka iaitu bekas ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron yang bertindak menarik sokongan terhadap kerajaan Melaka sehingga tumbangnya kerajaan negeri.

Lebih menguatkan lagi spekulasi Rauf akan dilantik menjadi KM lagi, beliau diletak bertanding di kubu kuat UMNO dan dijangka menang mudah kerana memiliki sokongan saudara maranya di Tanjung Bidara.

Kerusi DUN Tanjung Bidara sebelum ini dimenangi calon UMNO, Datuk Md. Rawi Mahmud yang berjaya mengekalkan kerusi disandang selama dua penggal.

Selain itu, hampir majoriti calon BN kali ini adalah muka baharu, ia juga satu lagi petanda Rauf bakal diangkat sebagai KM kerana kedudukan seniornya.

Rauf menjadi watak utama dalam krisis politik Melaka apabila bertindak membubarkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga memberi laluan kepada PRN terpaksa diadakan.

PRN kali ini menyaksikan 20 calon akan diletak UMNO, lapan diwakili MCA dan satu kerusi MIC.

sumber : Agenda daily