Walaupun dah sampai depan pintu, Mahkamah tidak izin Najib masuk

Bekas Perdana Menteri Najib Razak tidak dibenarkan memasuki bangunan Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan rasuah 1MDB berikutan status di aplikasi MySejahteranya.

Peguamnya, Hariharan Singh, memberitahu hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah bahawa status Najib dan rakan peguam Muhammad Shafee Abdullah di aplikasi itu adalah “kontak kasual” dan dimaklumkan untuk meninggalkan bangunan mahkamah.

“Awal pagi tadi, mereka dibenarkan masuk selepas mereka memuat semula status mereka.

“Bagaimanapun, selepas menjawab beberapa soalan di bawah fungsi ‘Covid-19 Status’ aplikasi itu, status mereka bertukar kembali kepada kuning,” katanya.

Hariharan berkata kedua-dua Najib dan Shafee sedang menunggu di luar perkarangan mahkamah.

Sequerah kemudian memberitahunya untuk memaklumkan kedua-duanya untuk menjalani ujian kendiri Covid-19.

“Apabila keputusan mereka keluar, maklumkan kepada Kementerian Kesihatan supaya status boleh dinilai semula,” tambahnya.

Najib berdepan 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berhubung dana disyaki milik 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank beliau antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Minggu lalu, Najib dan peguamnya terpaksa menghadiri keputusan Mahkamah Rayuan berhubung rayuan kes SRC International melalui prosiding dalam talian kerana mereka mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19.

Mahkamah Rayuan mengesahkan keputusan mahkamah rendah yang mensabitkan beliau atas tujuh pertuduhan membabitkan RM42 juta dana SRC International yang memasuki akaunnya. Ia juga mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Bagaimanapun, Najib dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu rayuan.

sumber : FMT