Walaupun didakwa dengan 11 pertuduhan Ebit Lew tetap tenang dan bersyukur

Pendakwah dan dermawan terkenal Ebit Lew menyifatkan pertuduhan terhadapnya hari ini adalah tidak berasas dan melampau.

Bercakap kepada media selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Tenom, Ebit berkata, tujuan utama pertuduhan dibuat ke atasnya untuk menjatuhkan kredibilitinya supaya dia nampak dihina, direndah-rendahkan dan menghentikan kerja membantu orang susah

“Yang saya nampak memang untuk menjatuhkan kredibiliti saya supaya saya nampak dihina, direndahkan agar saya menghentikan kerja-kerja kebajikan saya,” katanya.

Beliau merasakan terdapat satu kumpulan yang telah merancang untuk mengenakan dirinya dan ia bukannya melibatkan satu atau dua hari.

Peguamnya yang turut bersama beliau memaklumkan 11 pertuduhan itu adalah daripada seorang pengadu sahaja di bawah sekyen 509 Kanun Keseksaan

Menurut peguamnya, pertuduhan itu diperolah pada saat-saat akhir pada minggu lalu, dan mereka bersiap sedia datang ke mahkamah hari ini.

“Kita dibacakan pertuduhan tersebut dan kita kekal dengan pengakuan tidak bersalah.

“Tarikh sebutan telah ditetapkan mahkamah pada 22 April 2022 untuk pengadu serah segala dokumen yang berkaitan kepada kita untuk kita sediakan pembelaan, tarikh perbicaraan pula ditetapkan pada bulan Jun

“Tanpa dokumen-dokumen tersebut kita pun tak dapat bagi maklum balas,” kata peguam.

Bercerita lebih lanjut Ebit memaklumkan beliau terkejut dengan pendakwaan ini beberapa hari lepas kerana kehadirannya ke Sabah untuk melakukan kerja amal bukan semata-mata hadir ke mahkamah.

“Saya terkejut juga sebab saya tengah buat kerja amal, saya datang ke sini bukan rancang untuk ke mahkamah …tidak ada,” katanya lagi.

Dengan 11 pertuduhan ini, Ebit berkata beliau tidak gentar kerana dia tahu dia tidak bersalah dan mengandaikan tindakan ini adalah perancangan daripada kumpulan tertentu sejak dahulu lagi yang tidak senang terhadap kerja amal yang dilakukannya.

“Tapi saya redha dengan ketentuan Allah dan saya anggap ini adalah ketentuan Allah kerana tujuan kita ialah ampunkan dosa, beri pahala dan diangkat darjat, jadi saya rasa tenanglah.

“Bila kita kena kita akan rasa ujian ini sangat berat, tetapi saya ambil nasihat ulama-ulama jangan bersedih, sentiasa bangun malam solat dan sentiasa menganggap ujian yang datang ini adaah sebahagian daripada sunnah walaupun kita tidak sempurna berbanding Nabi Muhammad SAW

“Saya rasa bersyukur dengan ujian ini mudah-mudahan Allah kurniakan kebaikan kepada saya di akhirat,” kata beliau lagi.

Ebit Lew, hari ini dihadapkan di mahkamah Tenom, Sabah dipercayai membabitkan 11 pertuduhan, termasuk berkaitan gangguan seksual.