PAS berharap ada harapan untuk Muafakat Nasional (MN), pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan dalam masa terdekat.
Memetik dari Berita Harian ,Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Hussin, berkata perkara itu akan dibincangkan secara terperinci bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad, yang juga Menteri Besar.
Katanya, antara butiran yang akan dibincangkan nanti termasuk usaha memperkasa perjuangan ummah di antara UMNO serta PAS di bawah payung MN.
“Buat masa ini, kita sedang berusaha ke arah itu (penyatuan MN). PAS Johor sudah berhubung dengan pihak UMNO Johor dan telah mendapat maklum balas baik untuk bertemu Menteri Besar.
“Insya-Allah, satu perbincangan akan dilakukan dalam masa terdekat hasil hubungan baik di antara kedua-dua parti.
“PAS pusat juga sudah memberikan lampu hijau buat PAS Johor supaya menjayakan usaha penyatuan MN itu. Harapnya kita dapat mencapai persefahaman bagi tujuan berkenaan,” katanya hari ini.
Pada PRN Melaka baru-baru ini, PAS memutuskan untuk bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan bertanding di bawah Perikatan Nasional (PN).
Namun PAS tewas semua lapan kerusi yang ditandinginya.
Dalam pada itu, Abdullah berkata, PAS Johor sudah bersedia menghadapi PRN di negeri ini selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, memperkenan pembubaran DUN Johor, semalam.
“Pembahagian kerusi juga akan dibincangkan bersama kepimpinam pusat, selain dalam pertemuan bersama Hasni sedikit masa lagi.
“Sedikit atau banyak kerusi yang akan ditandingi, ia hanya dibincangkan pada peringkat dalaman sahaja. Masih belum dimuktamadkan lagi,” katanya.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), hanya seorang wakil tunggal PAS Johor menang kerusi DUN di DUN, Bukit Pasir yang dimenangi Najib Lep.