Seorang pelajar perempuan telah menerima pujian daripada netizen selepas dia mengalahkan seorang pelajar lelaki dalam pertandingan gusti lengan, seperti yang dilaporkan oleh portal berita South China Morning Post.
Pertarungan gusti lengan itu diadakan semasa waktu rehat bagi pelajar yang mengikuti kem latihan fizikal di Universiti Sukan Beijing pada 13 September yang lalu.
Latihan tersebut adalah wajib bagi semua penuntut baharu di sekolah menengah dan universiti. Kem latihan tersebut diadakan selama beberapa hari hingga dua minggu, bergantung kepada usia pelajar.
Ketika mengikuti kem tersebut, pelajar universiti tahun pertama mengadakan pertarungan satu lawan satu sebagai hiburan di antara sesama mereka untuk meredakan tekanan selepas menjalani jadual latihan yang mencabar.
Terdapat ramai pelajar yang berkumpul di lokasi kejadian untuk menyaksikan pertarungan antara seorang pelajar lelaki yang mempelajari sukan gimnastik dan seorang pelajar perempuan yang mempunyai keahlian dalam bidang angkat berat.
Namun, pelajar perempuan tersebut menjadi tumpuan ramai pelajar kerana kekuatan otot lengannya, seperti yang terlihat dalam video yang dikongsikan melalui aplikasi Douyin.
Pelajar lelaki tersebut enggan untuk menyerah sehingga mukanya menjadi merah padam dan urat-urat biru menonjol di lehernya.
Setengah minit kemudian, pelajar perempuan itu kelihatan memenangi pertarungan itu sambil disambut dengan sorakan keras oleh penonton.