Wanita diberi amaran akan mengalami masalah kesihatan teruk jika berhenti beranak. Seorang ibu di Uganda yang juga pemegang rekod dunia untuk anak paling ramai dilaporkan diberi amaran oleh doktor yang dia boleh mengalami masalah kesihatan teruk jika berhenti melahirkan anak.
New York Post melaporkan Mariem Nabatanzi melahirkan 44 anak pada usia 40 tahun dan diberitahu bahawa tiada kaedah perancangan keluarga yang berkesan untuknya.
Menurut rekod, Mariem pernah melahirkan empat kembar dua, lima kembar tiga dan lima kembar empat.
Hanya sekali sahaja dia melahirkan seorang bayi.
Kahwin umur 12 tahun, anak pertama ketika berusia 13 tahun
Mariem berkahwin ketika dia berumur 12 tahun selepas ibu bapanya menjualnya dan dikurniakan zuriat pertama setahun kemudian.
Menurut Bank Dunia, kadar kesuburan jauh lebih tinggi di Uganda dengan purata adalah 5.6 kanak-kanak bagi setiap wanita.
Itu lebih daripada dua kali ganda purata dunia 2.4 kanak-kanak.
Mariem yang digelar ‘Mama Uganda’ di negara asalnya tidak lama kemudian menyedari dirinya tidak seperti wanita lain.
Dia ke klinik kesihatan untuk pemeriksaan selepas mendapat anak kembar, kembar tiga dan kembar empat.
Doktor memberitahu Mariem dia mempunyai ovari luar biasa besar yang membawa kepada keadaan dipanggil hiperovulasi.
Rawatan bagi hiperovulasi ada, namun ia sukar didapati di kawasan luar bandar Uganda.
Menurut pakar sakit puan Hospital Mulago, Dr Charles Kinggundu kepada The Daily Monitor, kemungkinan besar punca kesuburan yang melampau pada Mariem adalah disebabkan faktor keturunan.
“Kesnya adalah kecenderungan genetik kepada hiperovulasi yang mengeluarkan beberapa telur dalam satu kitaran yang meningkatkan peluang untuk kelahiran kembar,” katanya.
Enam anaknya meninggal dunia dan suaminya melarikan diri dengan semua wang keluarga, meninggalkan Mariem dengan 38 anak iaitu 20 lelaki dan 18 perempuan untuk dibesarkan seorang diri.
Baca Juga: ‘Yang sebenarnya pembaziran utama ialah bayaran gaji menteri’ – Netizen bidas kenyataan Mahdazir