Wanita dituduh curi RM40 tabung masjid, tak mampu bayar ikat jamin RM2,000

  • Post author:
  • Post comments:0 Comments

Seorang tukang cuci sambilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas kesalahan mencuri RM40 dalam tabung di Masjid Sirajuddin, Padang Pauh pada bulan lalu.

Tertuduh, Nor Amira Roslan, 28, hanya mengangguk faham dan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kamaliza Md Zain.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mencuri dalam bangunan dengan mencuri tabung Masjid Sirajuddin Padang Pauh dan wang bernilai RM40 yang terdapat dalam tabung masjid itu pada jam 8.54 malam 28 Ogos lalu.

Tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun serta denda.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jodia Por Yi Tying manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Iman Nor Azmi.

Nur Iman dalam hujahnya berkata, anak guamnya mengaku tidak bersalah disebabkan dia tidak mencuri wang sebanyak RM40 sebaliknya hanya RM28 sahaja.

Selain itu, Nur Iman memohon mahkamah meringankan jumlah jaminan disebabkan tertuduh mempunyai tanggungan seorang anak yang masih kecil berusia empat tahun.

Mahkamah kemudian menetapkan 4 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes selain memerintahkan tertuduh membayar sebanyak RM2,000 sebagai jaminan.

Tertuduh bagaimanapun mengambil keputusan untuk tidak membayar wang jaminan, dan ditahan sementara di Pusat Koreksional Perlis sementara menantikan tarikh sebutan semula kesnya.

sumber : https://www.bharian.com.my/amp/berita/kes/2021/09/858953/wanita-tak-mengaku-curi-rm40-tabung-masjid?fbclid=IwAR27UoCSwoz0Iuh1vGvi5LfVo6zsGNLTOuMATGkGHwtwpWzCwyPkcEuB5uU