Wanita hamil cedera diserang anjing ketika cuba melindungi anaknya

Wanita hamil cedera diserang anjing ketika cuba melindungi anaknya. Dia dipercayai diserang seekor anjing milik jirannya di parkir sebuah kondominium di Batu 9, Cheras.

Menurut Bernama, Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata dalam kejadian 5.43 petang itu, wanita berusia 35 tahun itu diserang anjing jenis Labrador.

Mangsa menerima rawatan di Hospital Kajang, selain menjalani rawatan susulan di Animal Bite Clinic, Hospital Serdang, di sini, memandangkan beliau sedang hamil .

“Siasatan mendapati anjing peliharaan itu adalah milik seorang wanita tempatan berusia 38 tahun yang merupakan jiran di kawasan yang sama dan tidak mempunyai lesen yang sah untuk memelihara anjing itu.

“Kejadian berkenaan berpunca daripada pemilik anjing yang telah cuai dan terlepas tali pengikat anjing menyebabkan haiwan itu bertindak di luar kawalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 289 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda RM 2,000 atau kedua-duanya.

Mohd Zaid menyeru orang ramai yang ingin memelihara anjing di mana-mana premis termasuk rumah persendirian, perlu dapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada pihak berkuasa tempatan

Ini adalah untuk memastikan haiwan peliharaan mereka dikawal rapi bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

Katanya, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03-89114222 atau mana-mana balai polis atau terus menghubungi pegawai penyiasat kes Sjn Muhammad Fadeli Safii di talian 012-5373134.

Baca Juga: Wanita untung RM1.59 juta, hanya jual salinan nota berwarna di Shopee

Baca Juga: Kerajaan perlu lakukan moratorium pelaksanaan hukuman mati mandatori