Siapa sangka, seorang wanita berjaya menjana pendapatan yang lumayan dengan ‘bekerja’ sebagai pengantin baharu tanpa pengetahuan suaminya.
Melangsungkan perkahwinan dengan tiga pemuda di masa yang sama, ibu kepada seorang anak perempuan itu rupanya sudah mendirikan rumah tangga secara sah.
Namun wanita berkenaan berjaya menyembunyikan hal tersebut dari suami sahnya berikutan lelaki itu sibuk menjalankan perniagaan dan jarang pulang ke rumah.
Wanita itu juga akan menggunakan nama palsu sepanjang berhubungan dengan tiga pemuda selama beberapa bulan sebelum meminta mereka untuk mengahwininya.
Bagi mengelakkan perkahwinannya bersama ketiga pemuda itu didaftarkan, wanita tersebut akan berbohong dengan mengatakan dia perlu kekal bujang secara rasmi.
Sangat licik, wanita berkenaan menipu suami-suami baharunya kononnya bantuan kerajaan yang diterimanya akan terhenti sekiranya dia tidak lagi berstatus ‘bujang’.
Walau bagaimanapun, wanita berusia 35 tahun itu tetap mahu majlis resepsi mereka diadakan agar hadiah, wang ‘angpao’ ataupun ‘salam kaut’ berjaya dikumpulkan.
Memetik laporan South China Morning Post, wanita bernama Zhou itu telah berjaya memperoleh wang 660,000 yuan (RM429,803.66) daripada ketiga lelaki tersebut.
Mengunjungi rumah tiga suaminya mengikut giliran, Zhou akan menggunakan alasan mengikuti training syarikat di luar kawasan ketika pergi ke kediaman ‘madu’ mereka.
Taktik licik Zhou itu akhirnya berjaya dihidu apabila wanita tersebut meminta wang daripada salah seorang suaminya kononnya bagi menampung kos melahirkan anak.
Suami tidak sah yang bernama Zhang itu kemudian mengunjungi kampung ibu bapa Zhou untuk melihat bayi kembar yang kononnya telah selamat dilahirkan di hospital.
Memutuskan untuk memeriksa latar belakang Zhou, Zhang mulanya mengesan kejanggalan pada pelakon upahan isterinya yang menyamar sebagai doktor.
Zhang kemudian membuat laporan polis sebelum satu pertuduhan jenayah difailkan terhadap Zhou yang membawa hukuman penjara 10 tahun kerana melakukan penipuan.
Setelah kegiatannya itu akhirnya terbongkar, suami sah kepada wanita kelahiran Jiangsu, China itu membuat keputusan untuk menceraikannya pada April lalu.