Wanita mengamuk dengan ‘cashier’ siap buat live IG akhirnya minta maaf, mengaku silap

Susulan tular video yang memaparkan seorang wanita ‘mengamuk’ kepada pekerja di sebuah kedai selepas anak lelakinya dikatakan mencuri barang yang terdapat di situ, wanita berkenaan difahamkan sudah pun pergi semula ke kedai itu dan meminta maaf.

Difahamkan, wanita itu sebelum ini telah datang menyerang para pekerja tersebut kerana tidak dapat menerima keadaan anaknya yang pulang ke rumah dalam keadaan menangis.

Ramai yang mengecam tindakan wanita tersebut yang dilihat gagal mengawal emosinya ditambah pula dengan reaksi anaknya yang memberontak sehingga membaling barang-barang di kedai tersebut dan menendang kaunter.

Ekoran ini, wanita yang memanggil dirinya Kak Long ini telah pun pergi semula ke kedai tersebut untuk menjernihkan keadaan dan meminta maaf atas keterlanjurannya semalam.

“Allhamdulliah bangun pagi ni 1,000 komen ada yang komen baik, ada yang komen buruk. Insyallah Adam mama dok tahu ujian apa Allah bagi pada kita hebat sangat. Dok terniat nak buka aib. Tapi masa anak ngamuk tu memang Adam betul-betul nak marah. Jadi kak long pun mungkin salah. Insyaa Allah kita akan tahu kbenaran sebab kita yakin Allah nim ada untuk hamba dia. Saya yakin Allah maha kaya. Dia tunjuk kebenaran,” tulisnya di Facebook.

Wanita bernama Wan Nor Baizura ini turut membuat siaran langsung di Facebook menunjukkan yang dia telah datang semula ke kedai serbaneka tersebut untuk melihat CCTV serta meminta maaf kepada pekerja-pekerja di sana.

Dalam video tersebut, pekerja kedai itu turut memberitahu bahawa anaknya itu memang tidak mencuri dan bersedia memaafkan wanita tersebut.

Pada masa sama, wanita itu juga turut menyatakan kesudiannya untuk membayar segala kerosakan yang dibuat oleh anaknya namun pekerja tersebut menolak dan mengatakan tiada barang rosak dek tindakan anaknya itu.