Wanita tidak mahu teruskan perkahwinan kerana kulit pengantin lelaki terlalu gelap. Neeta Yadav dilaporkan bakal bernikah dengan Ravi Yadav di Bharthana , Uttar Pradesh. Namun, perasaan teruja untuk meneruskan majlis perkahwinan mula hilang pada saat-saat terakhir.
Difahamkan, Neeta menyatakan hasrat untuk membatalkan pernikahannya ketika mereka sedang melakukan upacara perkahwinan namun enggan melengkapkan tujuh tawaf mengelilingi api suci lapor Indian Times.
Ujarnya, pengantin lelaki yang hadir pada majlis mereka itu bukanlah lelaki yang diperkenalkan kepadanya sebelum ini. Malah, dia turut meluahkan rasa tidak suka akan warna kulit pasangannya itu kerana dikatakan terlalu gelap.
Rasa maruah tercalar
Walau bagaimanapun, ahli keluarganya merayu selama enam jam agar wanita berkenaan meneruskan upacara tersebut, namun Neeta tetap dengan keputusannya dan bertindak meninggalkan majlis terbabit.
Susulan daripada itu, pernikahan mereka dibatalkan dan bapa kepada pengantin lelaki telah membuat laporan polis kerana mendakwa barang kemas bernilai ribuan rupee yang diberikan kepada pengantin perempuan sebagai hadiah itu tidak dikembalikan kepada mereka semula.
Bukan itu sahaja, pengantin lelaki turut mengatakan bahawa maruahnya tercalar akibat wanita berkenaan tidak menerimanya hanya kerana warna kulit terlalu gelap.
Baca Juga: Ceramah ‘live’ Ustaz Kazim jadi huru-hara, peserta wanita meracau dan mengamuk