Seorang wanita dari wilayah Guangdong, di selatan China, menjadi tular pada awal bulan ini setelah dilaporkan bahawa dia berjaya meraih pendapatan yang lumayan, melebihi 30,000 yuan (kira-kira RM19,530), hanya dengan menjual teks selamat malam.
South China Morning Post (SCMP) melaporkan bahawa Wong Biying, 35 tahun, menjual teks tersebut dengan harga satu yuan (kira-kira 65 sen) bagi setiap mesej. Idea itu muncul pada tahun 2012 ketika Wong bekerja di sebuah syarikat e-dagang dan membuka kedai di platform Taobao.
“Jika pelanggan mempunyai permintaan khas, saya akan menulis mesej berdasarkan kisah mereka,” kata Wong dalam video di media sosial, Douyin.
“Apabila pelanggan membuat pesanan, ramai daripada mereka akan menulis cerita mereka sendiri dan melalui setiap cerita, saya cuba menjiwainya,” katanya.
Tambah Wong, dia menerima permintaan yang luar biasa, termasuk permintaan untuk menulis peringatan kutipan hutang, kutukan kepada musuh, dan pesanan daripada individu yang cuba menjejaki bekas pasangan mereka.
Wong mengakui terkejut selepas menerima tempahan pertama beberapa hari selepas perniagaannya dimulakan, walaupun tidak menaruh harapan tinggi.
“Ternyata ramai orang memerlukan perkhidmatan itu,” katanya.
Sejak lebih 10 tahun lalu, Wong menghantar 30,000 mesej dan pernah menghantar lebih 300 mesej dalam satu malam.
Baca juga: Mimpi ngeri ‘terkahwin’ dengan adik sendiri! Rupanya kalau ikut hukum tak perlu cerai..