Waran tangkap dikeluarkan kerana gagal hadir beri keterangan-Pasangan suami isteri letupan mercun ditahan

Polis Thailand mengeluarkan waran tangkap terhadap pasangan suami isteri yang juga pemilik gudang penyimpanan mercun dan bunga api yang meletup di Mundok minggu lalu.

Bagaimanapun, polis Thailand memohon juga bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengesan mereka selepas kedua-duanya dipercayai melarikan diri ke Malaysia.

Pada 29 Julai lalu, seramai 11 orang maut dan 300 lagi cedera dalam insiden letupan di gudang berkenaan.

Suami isteri itu akhirnya berjaya ditahan selepas menyerah diri kepada polis Malaysia, semalam.

Ketua Polis Narathiwat, Mejar Jeneral Anuruth Imarb, berkata kedua-dua individu berusia 42 tahun itu kemudian diserahkan kepada polis Thailand di Sadao pada jam 1.30 tengah hari (waktu tempatan) dan tiba di Balai Polis Mundok kira-kira jam 9 malam untuk disoal siasat.

“Mereka berdepan empat pertuduhan, termasuk kecuaian sehingga menyebabkan kematian; mengimport serta menjual bunga api dan mercun berbahaya tanpa permit; mengubah suai bangunan tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan; serta melanggar undang-undang darurat di selatan Thailand,” katanya pada sidang media, di sini.

Statistik Pejabat Wilayah Narathiwat menunjukkan sejumlah 681 premis termasuk rumah, kedai dan sekolah musnah serta mengalami kerosakan akibat kejadian pada jam 3.05 petang (waktu tempatan) itu.

Selain itu, sebanyak 41 kenderaan dan 27 motosikal turut musnah, manakala lebih 3,000 penduduk terjejas.

Baca juga: Kenapa kereta bila terbabas ke dalam air sukar nak pecahkan cermin, atas darat boleh pula-Lelaki ini terangkan sebabnya