Setiap pemandu e-hailing pasti melalui pengalaman yang manis dan pahit ketika bekerja.
Ia kerana mereka perlu berhadapan dengan kerenah dan ragam penumpang setiap hari yang ada kalanya tidak masuk akal.
Itu yang berlaku pada seorang pemandu e-hailing yang sempat merakamkan kejadian diperas ugut oleh seorang warga asing.
Menurut pemandu terbabit, ketika kejadian penumpangnya mendakwa tidak mempunyai wang yang mencukupi.
“Lagi 10 minit nak sampai dia beritahu tak cukup duit lebih RM20. Lepas tu dia minta kurangkan harga. Katanya nak transfer (bayar) esok. Saya diamkan saja,” ujar pemandu yang tidak mendedahkan identiti ini.
Warga asing terbabit turut mengutuk cara pemanduannya yang perlahan namun mengguris hati pemandu itu.
“Ketika memandu, dia paksa-paksa saya untuk pandu dalam kelajuan 130 kilometer per jam.
“Dia pula ajar saya drive. Sampai suruh saya ke belakang dan biar dia saja yang memandu.
“Dengan bangga sembang dengan saya yang dia kahwin dengan orang Melayu. Puih! Aku cari rezeki sampai malam bang nak bagi anak dan isteri makan. Kau buat aku macam ni,” katanya lagi.
Tidak mahu bersabar lagi, pemandu itu dengan nada marah mengajak penumpang itu ke balai polis jika tidak dapat membuat bayaran penuh.
“Betul? Lai (jom). Sekarang kita pergi balai sebab awak banyak menyusahkan saya.
“Awak hutang saya RM20 siap maki-maki lagi. Kita pergi balai! Awak jangan main gila (buat hal) dengan saya. Saya tak takutlah tahu!” kata pemandu kepada penumpangnya.
Di akhir video itu penumpang berkenaan mengakui kesilapannya dan meminta maaf serta membuat bayaran penuh.