Warga emas kena ‘scam’ dengan Pak Lebai, “bayar RM200, dapat RM50,000!”

Warga emas hilang wang kerana terpedaya dengan pak lebai yang juga seorang pengamal perubatan tradisional dari negara seberang yang mendakwa mampu menarik duit dari alam ghaib.

Beliau berusia 62 tahun tersebut pada mulanya mengikuti akaun Facebook perubatan tradisional jarak jauh dimiliki lelaki yang mengaku sebagai ‘ustaz’ dan habib itu.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Kasim berkata, dia terlebih dahulu dihubungi oleh pengamal perubatan tradisional itu.

“Dia yang mulakan mesej di Facebook ucap salam. Kami berbual perihal ibu saya yang sakit strok dan isteri sakit lutut.

“Dia minta seekor kambing hitam yang memerlukan saya membayar sekitar RM700 untuknya beli kambing itu bagi melakukan ritual perubatan.

“Saya beritahu tidak mampu dan bertanya adakah dia mampu tarik duit. Dia kemudian tunjukkan senarai panjang bayaran pakej untuk tarik duit serendah RM200 sehingga paling tinggi mencecah RM2 juta,” katanya ditemui di Pengkalan Chepa di sini pada Khamis.

Bapa lima anak yang tertarik dengan tawaran minimum RM200 bagi menarik wang RM50,000 itu kemudian pergi ke bank untuk urusan penghantaran duit, namun tidak dibenarkan oleh pihak berkenaan kerana mengesyaki ada kaitan aktiviti penipuan kerana nama pemilik akaun yang berlainan.

“Saya kemudian cuba nasib di agensi pengurup wang dan mengaku mahu menghantar duit kepada saudara di Indonesia sebanyak 682,609.36 rupiah (RM200) serta berjaya melakukannya.

“Selang beberapa jam, dia menghantar rakaman video wang berjumlah RM150,000 sambil menyebut rezeki atas nama saya hasil tarik wang ghaib dan meminta bayaran RM1,500 untuk membiayai cukai proses menghantar wang itu,” ujarnya.

Bercerita lanjut, Kasim berkata, melalui nombor telefon berbeza, suspek terus membuat penawaran dan rundingan sehinggalah memintanya membayar serendah RM300.

Bagaimanapun dia tidak diberikan wang diminta kerana menyedari ditipu.

“Apabila saya beritahu dia penipu, saya pula diugut ‘Awasi bapak, saya akan buat kecelakaan atas diri bapak dan keluarga bapak”.

“Ada kawan saya hampir terkena sama apabila suspek meminta dua ekor kambing hitam bernilai kira-kira RM1,400 untuk ritual tarik duit.

“Saya harap orang ramai berhati-hati agar tidak terjebak atau tertipu sama,” katanya.

Baca juga: Anak kepada pemilik restoran dedah TikToker datang nak ‘review’ makanan tapi kena bayar RM1,800 untuk viral