Warga Malaysia miliki aset RM190 juta rupa-rupanya Raja Dadah yang di tahan di Loas

Warga Malaysia miliki aset RM190 juta rupa-rupanya Raja Dadah yang di tahan di Loas pada 29 Disember lalu.

Suspek yang berusia 41 tahun dan berasal dari Perak itu ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 (Akta 316) sebelum ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Kamarudin Md Din berkata, pihaknya pernah mengambil tindakan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 (Akta 316) ke atas dia (Raja Dadah) malah juga pernah membuat rampasan (aset) suspek pada peringkat awal penahanannya sebelum ini.

“Sebahagiannya sudah pun kita lucutkan hak dan ada yang kita sudah pulangkan semula (kepada suspek) dan nilainya, jika tidak silap saya, dalam RM190 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di IPK Perlis, di sini, hari ini.

Kata beliau, pihaknya belum lagi meneliti impak kegiatan penyeludupan dadah yang berlaku, terutama di sempadan Malaysia, selepas tertangkapnya suspek di Laos.

Namun, katanya, polis sentiasa mengambil tindakan menyeluruh ke atas aktiviti terbabit.

“Malah, pada tahun ini, dengan kejayaan pembanterasan penyeludupan dadah di Perlis ini, kita akan lipat gandakan usaha untuk memastikan tiada lagi dadah yang cuba diseludup masuk daripada negara jiran ke Malaysia.

“Pada masa sama, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan biarkan kes ini selesai dahulu di Thailand dan kemudian, baharulah kita akan melihat semula sama ada suspek ini akan diekstradisi atau sebaliknya.

“Buat masa ini, kita belum lagi ada perancangan terhadap langkah berkenaan,” katanya dipetik Harian Metro.

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan, seorang rakyat Malaysia yang dikehendaki di Thailand ditahan di Laos ketika sedang bersembunyi di negara berkenaan bagi membantu siasatan aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah.

Pihak berkuasa Thailand melaporkan, suspek menggunakan negara itu sebagai lokasi aktiviti pengubahan wang haram dan sebagai transit untuk penyeludupan dadah ke Malaysia, Taiwan dan Australia.

PDRM mengesahkan, suspek turut disenarai hitam selepas disyaki menjadi dalang sindiket pengedaran dadah di kawasan Segi Tiga Emas membabitkan Myanmar, Laos dan Thailand sejak 2006.

Baca juga: Kisah gajah sarkas bernama Topsy, diseksa dan dizalimi sehingga mati dengan kejutan elektrik