Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) optimis pada isu pertukaran tapak tanah 90 kubur di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang untuK memberi laluan kepada projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan dapat diselesaikan menjelang hujung bulan ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, pihaknya telah mendapat arahan supaya kerja-kerja pemindahan ditangguh buat sementara sehingga 17 Mei ini.
“Untuk makluman dari segi garis panduan, peraturan yang dimuktamadkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor telahpun kita patuhi dan kita mengharapkan perkara ini dapat selesaikan dalam hujung bulan ini.
“Secara ringkasnya, perbincangan (dengan waris) menjurus kepada bagaimana kita perlu memindahkan kubur tersebut, apa kaedah yang perlu dibuat dan tentunya kaedah-kaedah ini mendapat kelulusan Majlis Fatwa Negeri Selangor yang telah kita perolehi sebelum ini.
“Sepatutnya tiada isu-isu yang berbangkit, tetapi kita faham dari segi sensitiviti dan keresahan yang ditimbulkan oleh waris-waris terlibat,” katanya kepada pemberita pada sambutan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di sini hari ini.
Sebelum ini tular berita mengenai penduduk mengutarakan kebimbangan mereka kerana tapak kubur anggota keluarga mereka mungkin akan digali semasa pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Tanah Perkuburan Selat Klang, dengan hanya batu nisan yang ditinggalkan.
Mereka juga didakwa tidak dibenarkan menghadiri proses penggalian dan pemindahan kubur tersebut.
Baca juga: Kebebasan Media Malaysia jatuh pada tangga-34 dunia, Fahmi Fadzil nafi salah kementerian sendiri