Wartawan AS, Brent Renaud maut, ditembak tentera Rusia

Seorang wartawan Amerika Syarikat (AS) maut ditembak di bandar Irpin, Ukraine ketika bertugas.

Lapor BBC, lelaki tersebut yang dikenali sebagai Brent Renaud, 50, merupakan wartawan dan pengarah filem yang bertugas dengan The New York Times.

Ketua Polis Kyiv, Andriy Nebytov berkata, mangsa serta dua wartawan lain menjadi sasaran tentera Rusia.

Dua lagi wartawan yang turut berada bersama mangsa mengalami kecederaan dan di bawa ke hospital.

Salah seorang wartawan yang terselamat, Juan Arreddondo berkata dia bersama dengan Renaud semasa tembakan berlaku.

“Kami sedang menyeberangi jambatan pertama di Irpin untuk mendokumentasi pelarian yang meninggalkan kawasan itu dan berjaya memasuki sebuah kereta.

“Selepas itu seseorang menawarkan diri untuk membawa kami menyeberang jambatan lain dan semasa kami melintasi pusat pemeriksaan, mereka mula melepaskan tembakan.

“Pemandu berpalih ke belakang dan mereka saling berbalas tembakan dan kawan saya, Brent Renaud ditembak di bahagian leher,” katanya.

Renaud pernah bertugas di Afghanistan, Iraq dan Haiti. Dia pernah memenangi anugerah Peabody untuk kerjanya dalam siri 2014 untuk Chicago schools, Last Chance High.