Waspada!!! Kes harian covid-19 boleh cecah 8,000 pada Mac

Kementerian Kesihatan (KKM) menganggarkan jumlah kes harian Covid-19 boleh mencecah 8,000 pada pertengahan Mac, jika kadar jangkitan (R0 atau disebut R naught) kekal pada 1.2.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, menyiarkan di Twitter model Susceptible-Exposed-Infectious-Removed (SEIR) dengan unjuran hingga 31 Mei.

Sebelum itu, KKM meramalkan dengan nilai R0 1.2, Malaysia hanya akan mencapai paras 3,000 kes harian pada minggu keempat bulan ini.

Namun, jumlah kes harian Covid-19 di Malaysia mencecah paras 3,000 hari ini apabila Hisham mengumumkan jumlah rekod kes harian sebanyak 3,027 kes.

Menurut unjuran kementerian, dengan R0 1.2, Malaysia akan merekodkan 5,000 kes harian pada minggu ketiga Februari dan 8,000 pada minggu ketiga Mac.

Sementara itu, dengan R0 1.1, jumlah kes harian Malaysia hanya akan mencapai 3,000 kes harian pada minggu kedua Februari, 5,000 pada minggu kedua April dan 8,000 pada minggu keempat Mei.

Semalam, Hisham berkata, R0 semasa adalah antara 1.1 dan 1.2, namun beliau menjangkakan jumlah kes akan meningkat dalam satu atau dua minggu selepas perayaan tahun baharu.

sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/01/07/kes-harian-covid-19-boleh-cecah-8000-pertengahan-mac-kata-kp-kesihatan/