Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengumumkan bahawa Monsun Barat Daya akan bermula pada 17 Mei 2024 dan dijangka berterusan sehingga September 2024.
Dalam kenyataan yang dimuat naik di laman X, Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah, menjelaskan bahawa sepanjang tempoh ini, angin biasanya akan bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara yang lebih rendah dan keadaan atmosfera yang lebih stabil.
Ini bermakna akan terdapat pengurangan dalam pembentukan awan hujan, yang membawa kepada taburan hujan yang lebih rendah. Akibatnya, kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami lebih banyak hari tanpa hujan berbanding hari dengan hujan.
Fenomena “garis badai” atau barisan ribut petir juga boleh berlaku dalam tempoh ini. Ribut petir ini terbentuk akibat penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam.
Selain itu, terdapat risiko jerebu sekiranya pembakaran terbuka tidak terkawal, terutamanya pada bulan Julai hingga September. Oleh itu, MetMalaysia menasihatkan agar pembakaran terbuka dielakkan untuk mengurangkan kesan jerebu dan pencemaran alam sekitar.
Orang ramai juga disarankan untuk menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh Monsun Barat Daya ini.
Untuk mendapatkan maklumat cuaca terkini, orang ramai boleh melayari laman web MetMalaysia, menggunakan aplikasi mobil myCuaca, mengikuti media sosial rasmi jabatan, atau menghubungi Hotline Jabatan Meteorologi Malaysia di 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.
Baca: Tersenarai sebagai artis yang diboikot, Nadhir Nasar mohon maaf