WHO beri amaran varian baru “Omicron” lagi bahaya dan senang berjangkit

WHO beri amaran varian baru “Omicron” lagi bahaya dan senang berjangkit

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini mengeluarkan amaran kepada seluruh dunia bahawa varian baharu Omicron, menimbulkan risiko penularan dan jangkitan sangat tinggi sekiranya pandemik Covid-19 melonjak sekali lagi.

“Jika satu lagi lonjakan besar Covid-19 berlaku yang didorong oleh Omicron, akibatnya mungkin teruk,” kata WHO dalam nota teknikal memberitahu ahlinya sebelum sesi khas persidangan bagi menangani keperluan untuk perjanjian pandemik antarabangsa.

Peningkatan kes, tanpa mengira perubahan dalam keterukan, mungkin menimbulkan permintaan yang luar biasa terhadap sistem penjagaan kesihatan dan boleh menyebabkan peningkatan morbiditi serta kematian, kata nota itu.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Ghebreyesus berkata kemunculan varian Omicron yang sangat bermutasi menggariskan betapa bahaya dan tidak menentu keadaan sekarang ini.

“Varian Omicron menunjukkan mengapa dunia memerlukan persetujuan baharu mengenai pandemik, dan sistem tidak balas,” katanya sambil menjelaskan bahawa sudah tiba masanya membuat pilihan untuk melabur dalam memastikan kesihatan yang terbaik, dan selamat pada masa depan.

Jumaat lalu, WHO menamakan varian baharu yang mula dikesan di Afrika Selatan pada 24 November lalu setelah sampel diperoleh pada 19 November, sebagai Omicron.

“Kita patut berterima kasih kepada Afrika Selatan dan Botswana kerana berjaya mengesan dan melaporkan varian itu,” katanya setelah Eropah dan Amerika Utara mengenakan sekatan terhadap negara-negara di Afrika.

Ghebreyesus berkata saintis masih belum mengetahui sama ada Omicron dikaitkan dengan lebih banyak penularan, dan jangkitan yang lebih teruk.

“Wabak ini, yang boleh dicegah, dikesan dan dirawat, terus membayangi dunia,” katanya.

Berdasarkan kepada ciri-ciri varian baharu itu, WHO memberi amaran mungkin terdapat lonjakan Covid-19 pada masa hadapan, yang boleh membawa akibat teruk, bergantung kepada pelbagai faktor, termasuk lokasi lonjakan mungkin berlaku.

“Risiko global secara keseluruhan yang dikaitkan dengan Omicron dinilai sebagai sangat tinggi,” kata WHO. – Agensi

COMMENTS