Hotel angkasa lepas pertama di dunia menawarkan pemandangan luar biasa planet Bumi. Ia juga dijadualkan untuk dibuka pada tahun depan seperti yang dilaporkan oleh akhbar The Sun UK semalam.
Syarikat angkasa lepas berpangkalan di Amerika Syarikat, Above Space, mempunyai pelan untuk melancarkan dua stesen penginapan pelancong di angkasa lepas. Setiap stesen akan dinamakan Voyager dan Pioneer.
Syarikat tersebut menggambarkan Pioneer sebagai hotel atau penginapan angkasa lepas pertama di mana aktiviti perdagangan, penyelidikan, dan rekreasi dapat beroperasi yang dijangka akan dilancarkan seawal tahun depan.
Stesen tersebut dikatakan sebagai versi yang lebih kecil berbanding Voyager, yang dijangka akan dibuka pada tahun 2027. Pioneer boleh menempatkan hanya 28 orang berbanding dengan kapasiti Voyager yang mampu menampung sehingga 400 orang.
Kedua-duanya dilaporkan menyerupai roda berputar yang mengorbit Bumi, sementara dekorasi dalaman dijelaskan sama dengan sebuah hotel mewah.
Perjalanan selama empat hingga 18 jam ke stesen itu dijangka akan menelan kos sekurang-kurangnya AS$55 juta (RM257.6 juta).