Yakin tidak salah,mengapa Azam masih takut untuk jumpa JK Parlimen?

  • Post author:
  • Post comments:0 Comments

Selepas Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM Abu Zahar Ujang berpuas hati dengan penjelasan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, timbul persoalan mengapa Azam tidak bersedia untuk hadir memberikan penjelasan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

Seperti dipetik oleh Malaysiadateline, Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang berkata, Azam Baki sepatutnya bersedia untuk hadir memberikan kenyataan kepada jawatankuasa berkenaan mengenai agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk membersihkan nama beliau daripada pertuduhan konflik kepentingan yang mula timbul sejak dua bulan yang lepas.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki telah memberitahu Lembaga Pengarah pada 24 November bahawa akaun dagangannya digunakan oleh adiknya untuk memperoleh saham dalam dua syarikat pada tahun 2015.

Abu Zahar berkata Lembaga Pengarah berpuas hati dengan penjelasan Azam bahawa beliau tidak mempunyai kepentingan kewangan mahupun konflik kepentingan dalam pemerolehan saham tersebut.

“Tambahan pula, adakah adiknya bersedia untuk hadir memberikan keterangan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen?

“Pastinya pengesahan mengenai ketiadaan sebarang konflik kepentingan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri adalah lebih berkredibiliti dan bernilai daripada keputusan sebuah jawatankuasa SPRM sendiri, kata veteran DAP itu.

Selain itu, tegas Kit Siang SPRM perlu memohon maaf kepada profesion perubatan kerana telah menyiarkan iklan mengenai doktor yang korup pada suatu masa di mana SPRM sendiri berhadapan dengan persoalan yang serius tentang integritinya sendiri.

Begitu juga, katanya video kesedaran ‘anti rasuah’ yang disiarkan SPRM di Twitter menggambarkan contoh bagaimana rasuah boleh berlaku di klinik untuk mendapatkan sijil perubatan (MC).

“Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Koh Kar Chai betul dalam kritikannya terhadap video yang dikatakan sebagai “penghinaan terhadap kemurnian dan imej profesion perubatan”.

“Mengapa SPRM tidak mengeluarkan video yang menggambarkan rasuah dalam kalangan Menteri atau Ahli Parlimen?” soalnya lagi.

Kit Siang secara amnya kecewa dengan sidang media “dedah segalanya” SPRM semalam, kerana ia telah meninggalkan banyak persoalan yang tidak terjawab.

“Saya telah berkata bahawa rakyat Malaysia dan dunia bimbang Malaysia akan kembali menjadi kleptokrasi dan saya telah meminta sidang media SPRM untuk memberitahu rakyat Malaysia apa yang SPRM lakukan untuk menghalang Malaysia mundur sebagai kleptokrasi dan apa jangkaan SPRM mengenai Indeks Persepsi Rasuah Transparency International 2021 untuk Malaysia, yang dijangkakan diterbitkan lewat bulan ini,” ujarnya.

Terdahulu, seorang pegawai penguat kuasa kanan SPRM didakwa di mahkamah atas kesalahan penyelewengan RM25 juta wang tunai yang merupakan bukti yang berkaitan dengan kes rasuah besar.

Tambahnya, terpulang kepada mahkamah untuk memutuskan sama ada pegawai kanan SPRM itu bersalah tetapi jika SPRM menghadapi masalah untuk menyemai nilai integriti dalam kalangan pegawai SPRM, bagaimanakah SPRM menjangkakan akan berjaya menerapkan nilai integriti dalam kalangan penduduk Malaysia?