Tiada yang pelik dan ajaib pada zaman kerajaan Perikatan Nasional (PN). Ketika ada timbalan menteri memiliki sijil akademik palsu dari luar negara, sejumlah pegawai tinggi kerajaan yang sahih memiliki kelulusan diberi sijil anugerah parti dan sampul putih.
Itu yang berlaku dalam sambutan ulang tahun Bersatu Ke-4 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di ibu negara malam tadi.
Memperalat sentimen rasa hormat rakyat kepada barisan hadapan (frontline) dalam mengawal penularan wabak Covid-19, seramai 10 pegawai kanan kerajaan daripada pelbagai agensi menerima Anugerah Khas Frontliner daripada Bersatu.
Kesemua pegawai kerajaan terbabit daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri; Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Mendahului senarai, Pengarah Hospital Sungai Buloh, Dr Kuldip Kaur diikuti Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim.
Seterusnya, Panglima Medan Barat Tentera Darat Malaysia (TDM), Leftenan Jeneral Datuk Mohammad Ab Rahman dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim, Kapten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali.
Turut menerima anugerah lengkap logo Bersatu yang bersaiz besar itu ialah Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jasmi Juwahir; Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yasin juga menyampaikan anugerah sama kepada Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Datuk Roslan Wahab dan Penolong Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Mohd Khairul Ahmad.
Lagi menerima anugerah daripada Perdana Menteri itu ialah Timbalan Komissoner Jabatan Penjara (Pengurusan), Datuk Nordin Muhamad dan Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), Zulkifli Ismail.
Kesemua pegawai yang menerima anugerah terbabit turut menerima sepucuk sampul berwarna putih daripada Muhyiddin.