Berita dipetik dari FMT
Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin, ‘diasak’ dengan soalan sama ada bekas Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador telah dipanggil memberi keterangan berhubung dakwaannya berkenaan kes ‘kartel polis’.
Hamzah berkata pihak polis telah melakukan siasatan dan semua yang terbabit telah dipanggil untuk beri keterangan.
Bagaimanapun, Ramkarpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) yang bertanyakan soalan tersebut seakan tidak berpuas hati dengan jawapan Hamzah sehingga tercetus ketegangan dan jawapan balas yang agak keras daripada menteri.
“Cuma cakap ya atau tidak adakah kenyataan bekas KPN (Abdul Hamid Bador) telah diambil?” soal Ramkarpal.
“Not for you to ask me, you sit down, accept my answer (bukan untuk anda tanya saya, anda duduk dan terima jawapan saya). Saya sudah kata semua yang terbabit telah diambil kenyataan. Ini bukan mahkamah di mana anda boleh bertanya kepada saya soalan seperti itu,” balas Hamzah.
Sejurus itu, Ahli Parlimen menyatakan bahawa jawapan yang diberikan Hamzah seperti tidak menjawab persoalan yang diajukan.
“Your answer is no answer (jawapan anda bukan jawapan),” katanya.
Hamzah turut memaklumkan berdasarkan siasatan dalaman polis, didapati tidak wujud ‘kartel’ seperti didakwa sebelum ini.
Katanya, bagi memastikan ketelusan, pihaknya telah membawa perkara itu kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) untuk meneruskan siasatan.
“Berkenaan dakwaan wujud kartel dalam polis, siasatan dalaman telah dilakukan oleh polis dan didapati tiada kartel sebagaimana yang telah dinyatakan.
“Bagaimanapun bagi memastikan ketelusan, perkara ini dibawa kepada SIAP untuk meneruskan siasatan lanjut,” katanya ketika sesi penggulungan Bajet 2022 di Dewan Rakyat pada Selasa.
Tambahnya, segala isu yang dibangkitkan mana-mana pihak akan diberikan penyiasatan sewajarnya berdasarkan laporan yang dibuat oleh pengadu, bagaimanapun isu yang dibangkitkan tanpa butiran pengadu tidak akan dilayan.
“Budaya fitnah untuk membentuk persepsi buruk tanpa bertanggungjawab atas isu yang ditimbulkan merupakan satu perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab,” ujarnya.
sumber : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/11/16/you-sit-down-jawab-hamzah-bila-ditanya-sudahkah-hamid-bador-disoal-polis/