YouTube ‘block’ serta merta saluran berita Rusia selepas pencerobohan terhadap Ukraine tidak dihentikan

YouTube kini telah menyekat saluran berita Russia Today (RT) dan Sputnik News ekoran pencerobohan Rusia ke atas Ukraine ketika ini.

Menurut ciapan Google Europe di Twitter, syarikat itu bertindak menyekat saluran tersebut ekoran perang yang berterusan yang dilancarkan Rusia.

“Disebabkan perang yang berterusan di Ukraine, kami menyekat saluran YouTube yang berkait dengan RT dan Sputnik di seluruh Eropah, berkuatkuasa serta merta.

“Pasukan kami akan terus memantau keadaan terkini untuk mengambil tindakan yang pantas,” kata Google Europe..

 

Memetik laporan The Hollywood Reporter, tidak lama selepas pengumuman dibuat, saluran YouTube RT tidak boleh diakses di United Kingdom (UK).

Difahamkan, tindakan itu juga dilakukan berikutan ramai yang berpendapat bahawa RT dan Sputnik News telah menjadi ‘jurucakap’ kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Kremlin sejak konflik meletus minggu lalu.

Terdahulu, Kesatuan Eropah berkata bahawa ia telah menyekat saluran itu sebagai sebahagian daripada rancangan yang lebih luas untuk mengharamkan ‘mesin media Kremlin’ di benua itu.

Syarikat kabel gergasi Kanada pula mengeluarkan siaran berita RT daripada barisan rancangan TV mereka.

Sekatan ke atas Rusia dalam pelbagai sektor dilihat semakin meningkat ketika negara itu masih lagi menyerang Ukraine.

Semalam, Fédération Internationale de Football Association (FIFA) dan Union of European Football Associations (UEFA) dilaporkan telah melarang pasukan bola sepak Rusia menyertai Piala Dunia dan semua pertandingan Eropah.

Rusia sepatutnya dijadualkan menentang Poland dalam separuh akhri playoff kelayakan Piala Dunia pada 24 Mac dan mungkin akan menentang Sweeden atau Republik Czech pada 29 Mac.

Bagaimanapun, perlawanan tersebut berpotensi diboikot oleh tiga pihak lawannya itu.