Yusof Rawther berdepan penjara seumur hidup

Bekas pembantu penyelidik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammed Yusoff Rawther didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Muhammed Yusoff, 31, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret S.Arunjothi.

Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Muhammed Yusof didapati mengedar dadah berbahaya iaitu kanabis seberat 305 gram di kawasan tempat letak kereta hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini pukul 10.15 pagi pada 6 September lalu.

Berikutan itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan juga hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Sabri Othman manakala peguam Muhammad Rafique Rashid Ali mewakili Muhammed Yusoff.

Mahkamah kemudian menetapkan 12 November ini bagi sebutan kes dan laporan kimia.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini menetapkan perbicaraan penuh berhubung saman Muhammed Yusoff terhadap Anwar berhubung dakwaan serangan seksual terhadapnya akan bermula pada 16 Jun tahun depan.

Pada 14 Julai 2021, Muhammed Yusoff memfailkan saman mendakwa beliau telah diserang Presiden PKR itu secara seksual pada Oktober 2018, beberapa hari sebelum Anwar memenangi Pilihan Raya Kecil Port Dickson.

Dakwanya lagi, beliau mengalami trauma fizikal, psikologi dan sosial yang serius akibat kejadian tersebut, dan menuntut ganti rugi khas, am, teruk dan teladan serta faedah, kos dan relif lain.