Zahid berang hanya dapat RM100,000 sahaja, bukan RM3.7 Juta

Beberapa ahli parlimen Umno, termasuk di Bagan Datuk hanya diberi peruntukan RM100,000 setahun, iaitu peruntukan yang sama diberikan kepada ahli parlimen pembangkang di bawah Belanjawan 2021, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Sedangkan, kata Zahid yang menjadi wakil rakyat Bagan Datuk selama enam penggal, ahli parlimen lain dalam PN mendapat peruntukan RM3.7 juta seorang.

Dengan nada sarkastik, Zahid mengucapkan “terima kasih” kepada kerajaan atas peruntukan itu dan dia mengatakan jumlah itu “mencukupi” untuk kawasannya.

“Setakat ini saya terima peruntukan sebanyak RM100,000 setahun untuk tahun 2021. Ahli parlimen kerajaan yang lain dapat RM3.7 juta.

“Alhamdulilah saya mendapat RM100,000. ‘Cukuplah’ untuk Bagan Datuk rasanya. (Peruntukan) itu bahagian yang paling mundur di Perak setakat ini apabila dapat rm100,000 setahun.

“Saya ucapkan terima kasih atas peruntukan yang diberikan itu,” katanya dalam wawancara di NR Channel TV, semalam.

Zahid mengingatkan bahawa dia dan ahli parlimen Umno yang lain telah menyokong Belanjawan 2021 ketika dibentangkan di parlimen untuk memastikan ia diluluskan.

Justeru, mereka sewajarnya diberi peruntukan yang sama dengan ahli parlimen kerajaan yang lain.

“Ini adalah peruntukan yang diberikan kepada ahli parlimen Bagan Datuk, Pontian (Ahmad Maslan), Pekan (Najib Razak), Padang Rengas (Nazri Abdul Aziz) dan Machang (Ahmad Jazlan Yaakub).

“Mudah-mudahan terbukalah hati sesiapa yang membuat keputusan itu untuk memberi peruntukan sama dengan mana-mana ahli parlimen (kerajaan) yang telah mengundi supaya Belanjawan 2021.

“Kami sokong Belanjawan 2021 tiga kali, di peringkat dasar jawatankuasa, dan peringkat bacaan ketiga.Tetapi hadiah yang kami dapat, alhamdulilah peruntukan yang kami dapat rm100,000 setahun.

“Terima kasihlah, bersyukur, alhamdullilah,” katanya lagi, juga dalam nada sarkastik.

Namun, tidak dapat dipastikan sama ada ahli parlimen Umno yang memegang jawatan penting dalam kabinet Muhyiddin Yassin menerima jumlah peruntukan yang serupa seperti yang didakwa diterima Muhyiddin.

Terdapat tanda-tanda berlaku perpecahan antara kepemimpinan Umno dan menteri kabinet Umno, khususnya setelah Annuar Musa dipecat sebagai setiausaha agung BN.

Walaupun ramai pemimpin Umno bertegas memutuskan hubungan dengan PN, menteri Umno dilihat mesra pentadbiran Muhyiddin.

Keputusan Nazri dan Ahmad Jazlan dalam menarik balik sokongan mereka terhadap kerajaan PN telah menjadikan Muhyiddin menerajui kerajaan minoriti.

Susulan itu, beberapa pemimpin akar umbi Umno menuntut Zahid berehat dari memimpin parti

Bagaimanapun, kata Zahid, berehat atau bercuti tidak akan menyelesaikan masalah.

“Saya pernah bercuti selama enam bulan 12 hari. Ketika itu ada sekumpulan ahli parlimen yang mendesak saya sama ada letak jawatan atau bercuti. Kalau saya sekurang-kurangnyanya bercuti mereka tidak akan keluar daripada Umno, tetapi bahawa sehari selepas saya bercuti, kumpulan itu terus keluar daripada Umno.

“Dalam keadaan itu, tentunya bercuti, berehat apatah lagi meletak jawatan, bukanlah satu penyelesaian kepada masalah,” katanya.

Zahid berkaya dia dilantik sebagai presiden di bawah proses demokrasi pemilihan Umno dan mengikut perlembagaan parti, ia harus dipertahankan oleh semua di akar umbi.

MK