Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan akan memilih sama ada Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atau Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Bagi mencapai kata sepakat, Ismail Sabri dan Hishammuddin dibenarkan mengadakan perbincangan terlebih dahulu sebelum menyerahkan kepada Muhyiddin membuat keputusan muktamad.
Sumber daripada UMNO ketika memberitahu Sin Chew Daily berkata, calon Timbalan Perdana Menteri berkenaan perlu mempunyai kewibawaan untuk menyelesaikan persengketaan yang wujud dalam UMNO agar dapat menjamin kestabilan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Menurut sumber itu, Muhyiddin tetap berpendirian untuk memberikan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada UMNO, tetapi Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri dikatakan ingin mengisi jawatan tersebut.
“Namun disebabkan Ahmad Zahid masih terbabit dengan kes mahkamah, Perdana Menteri berhasrat agar UMNO dapat memilih calon lain yang lebih sesuai dan berkelayakan,” kata sumber itu lagi.
Dalam UMNO, Ismail Sabri yang juga Menteri Kanan (Pertahanan) memegang jawatan penting iaitu sebagai Naib Presiden dan itu memberikan kelebihan kepada beliau.
“Selain itu, Ismail Sabri berada dalam kem Ahmad Zahid dan Datuk Seri Najib Tun Razak. Jika Ismail Sabri dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri biarpun ‘melangkaui’ kedudukan Ahmad Zahid, kemungkinan sentimen rasa tidak puas hati dalam kalangan parti dapat dikurangkan,” jelas sumber itu lagi.
Bagaimanapun, kata sumber itu, sekiranya mempunyai pilihan, Muhyiddin dipercayai lebih cenderung memilih Hishammuddin sebagai timbalannya.
“Sejak kebelakangan ini, Hishammuddin telah menunjukkan beberapa tindakannya yang mampu memberikan kelebihan kepada beliau.
“Kenyataan beliau yang ingin meletakkan jawatan sebagai menteri sebelum Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO berlangsung dan menghadap Sultan Johor baru-baru ini meningkatkan lagi peluang untuk beliau mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri.
“Satu lagi kelebihan kepada Hishammuddin ialah hubungannya yang akrab dengan kerabat diraja Arab Saudi dan Negara China,” katanya.
Difahamkan, Ismail Sabri dan Hishammuddin masih mengadakan perbincangan dan masih gagal mencapai kata persetujuan dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, sumber berkenaan turut menafikan berita yang ditular dalam media sosial kononnya kesihatan Muhyiddin semakin merosot dan akan menerima rawatan di Singapura.
“Berita kononnya Muhyiddin akan melantik Hishammuddin sebagai Timbalan Perdana Menteri semasa Muhyiddin di Singapura adalah tidak benar sama sekali.
“Kesihatan Muhyiddin masih baik dan beliau masih mampu menumpukan tugasnya terhadap bencana banjir, masalah penularan Covid-19 dan menerima dengan tenang tekanan politik yang dihadapinya,” katanya kepada Sin Chew Daily.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/118486/BERITA/Nasional/Ismail-Sabri-atau-Hishammuddin-jadi-TPM
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf