Zahid dan Najib dikatakan intai peluang masuk kabinet Ismail, dedah laporan

Dua individu yang terakhir menyokong pencalonan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri (PM) baharu difahamkan juga mengintai peluang untuk berada dalam Kabinet baharu yang akan dibentuk dalam masa terdekat.

Walaupun Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan rakan karibnya, Datuk Seri Najib Razak meragui kemampuan Ismail Sabri sebelum dilantik PM baharu, namun kedua-dua mereka dikatakan juga sudah memasang cita-cita untuk turut terselit dalam Kabinet yang akan bakal dibentuk nanti.

Zahid memegang portfolio terakhirnya sebagai Menteri Dalam Negeri dan Najib pula merupakan bekas Menteri Kewangan yang terkenal dengan pelaburan yang tidak tahu untung atau rugi, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Gandingan dua muka lama ini dikatakan menawarkan diri untuk membantu kelancaran pentadbiran pimpinan Ismail Sabri, kononnya tanpa jasa mereka berdua mustahil Ahli Parlimen Bera itu dapat berada pada kedudukannya sekarang ini.

Berdasarkan pengalaman kedua-dua mereka, ia kononnya dapat membantu Ismail Sabri ke arah usaha memulihkan keadaan negara selepas kemelut politik yang tidak ada penghujung dan keadaan ekonomi yang lemah ketika ini.

Bagaimanapun, sekiranya perkara tersebut menjadi kenyataan tidak mustahil tentangan kuat bakal dihadapi UMNO daripada seterunya, malah kedudukan Ismail Sabri juga bakal tercabar.

Ismail Sabri perlu berwaspada kerana keabsahannya masih belum diuji di Parlimen, sebarang keputusan yang membelakangi rakan komponen Perikatan Nasional (PN) akan mengundang masalah besar kemudiaan dan berisiko besar mengakibatkan sekali lagi krisis politik berulang.

Pertimbangan yang matang dan seimbang pastinya menjadi keutamaan Ismail Sabri, tersilap langkah mengabaikan syarat yang diletak PN ia pasti akan menjadi satu lagi tamparan hebat.

Zahid sudah memberi respon balas selepas pelantikan Ismail Sabri dengan cuba mengingatkan ahli-ahli UMNO bahawa kejayaan menjadi dominan di Putrajaya adalah hasil usaha kerja kerasnya sepanjang memimpin parti tersebut.

Najib juga senada yang seakan tidak mahu dirinya dilupai sebagai sebahagian individu yang berjasa mengembalikan kuasa kepada UMNO.

Ia secara tidak langsung adalah isyarat kepada Ismail Sabri supaya tidak melupai kedua-dua mereka yang menjadi pencatur utama sehingga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga kecundang di tangan kedua-dua mereka.

Faktanya, Anwar menjadi mangsa penipuan sistematik Zahid dan Najib sehingga kembalinya UMNO dominan ke tampuk kuasa.

Anwar mungkin sedang bersedih atas pengkhianatan anak muridnya bersama Najib itu, malah sedang berdepan tekanan untuk berundur sebagai Ketua Pembangkang.

Presiden PKR itu dilihat lemah dan gagal dalam menunaikan janjinya konon memiliki majoriti untuk menjadi PM baharu, sebaliknya berlaku apabila Ismail Sabri diangkat menjadi PM ke-9.

Lebih buruk lagi, Zahid dan Najib sedang merancang langkah seterusnya untuk membebaskan diri daripada kes mahkamah sedang dihadapi mereka, terima kasih kepada Anwar yang sanggup bersekongkol dengan kleptokrat.

Pembangkang kini bergelut cuba mencari naratif baharu untuk membetulkan kesilapan ketua mereka, Anwar yang sudah hilang kepercayaan dan kredibilitinya juga tercalar teruk.

Tidak pasti sama ada Anwar akan berhenti daripada usahanya untuk menjadi PM selepas ini, namun kegagalan kali ini pasti meninggal luka mendalam apabila ditipu oleh anak muridnya.

sumber : https://www.agendadaily.com/politik/zahid-dan-najib-sudah-tidak-sabar-kembali-dalam-kabinet-baharu/