Zahid ramal jajaran baharu politik di Melaka, akan runding dengan Anwar?

Berita dipetik dari Agenda Daily

Kebarangkalian satu bentuk jajaran politik yang baharu tidak ditolak Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bakal berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata gabungan dengan mana-mana parti politik antara pilihan yang akan dipertimbangkan gabungan itu sekiranya tidak mempunyai majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan di Melaka.

Kenyataan Zahid itu juga sekaligus menguatkan lagi spekulasi wujud rundingan secara diam-diam dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

” (Sebarang) kebarangkalian adalah menjadi opsyen (pilihan) kepada kita. Namun kita merasakan bahawa pembentukan sebarang kerajaan campuran dan sebagainya bergantung kepada berapa kerusi yang kita perolehi dan berapa kerusi yang mereka perolehi.

“Namun saya saya yakin satu politik yang baharu akan berlaku di di negeri Melaka sebagai satu cerminan untuk politik di Malaysia nanti,” katanya apabila ditanya wartawan Malaysiakini berhubung kesediaan BN untuk bergabung dengan mana-mana parti di Melaka selepas PRN esok.

BN masuk bertanding PRN Melaka secara solo selepas menolak sebarang kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

Zahid bagaimanapun mahu menunggu dan melihat keputusan PRN esok sebelum mengambil pendirian untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti politik.

“Kita lihat esok sehingga pukul lima petang, okay,” katanya lagi.

Namun, Zahid tetap optimis satu kemenangan besar akan menjadi milik BN esok.

Terdahulu, Agenda Daily melaporkan langkah berunding dengan blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) sudah dimulakan pemimpin atasan UMNO walaupun keputusan PRN hanya akan diketahui esok.

Rundingan tersebut hampir sama dengan langkah yang pernah berlaku di Perak apabila Menteri Besar (MB) Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu disingkir selepas persetujuan UMNO bekerjasama dengan PH, hasilnya seorang MB baharu daripada UMNO dilantik.

Sumber Agenda Daily mengesahkan pemimpin atasan UMNO sudah mula mencari jalan dan menghantar mesej kepada pemimpin PH berhubung kesediaan mereka untuk menjalinkan kerjasama bagi membentuk sebuah kerajaan baharu di Melaka.

Paling jelas pengakuan Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) di Melaka, Datuk Seri Mohamad Hasan sendiri sudah membuat pengakuan berhubung kenyataannya tidak menolak kerjasama dengan parti lain di Melaka tidak terbatas dengan Perikatan Nasional (PN) sahaja.

“Kita terbuka kerjasama dengan sesiapa…tak bermaksud dengan PN sahaja, dengan sesiapa boleh… apa pasal semua orang boleh bekerjasama dengan semua orang, UMNO tak boleh,” kata Mohamad dalam satu wawancara dengan Bernama baru-baru ini.

sumber : https://www.agendadaily.com/politik/zahid-sahkan-jajaran-baharu-dibentuk-di-melaka-runding-dengan-anwar-ke/