Kenyataan genjatan senjata Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak mengejutkan bagi bekas Penasihat Media Perdana Menteri Datuk A Kadir Jasin kerana ia pernah berlaku pada tahun 1998 terhadap orang yang sama iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketika itu, Zahid yang menjadi Ketua Pemuda Umno kembali menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad walaupun beliau bersama Anwar sebelum dipecat dari Umno dan jawatan timbalan perdana menteri.
Bagi Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula, keputusan yang dibuat Umno tidak akan menghentikan usaha mereka untuk mengembalikan mandat rakyat pada pilihan raya umum ke 14 lalu.
“Reaksi awal. Siapa saja yang benar-benar kenal Ahmad Zahid Hamidi tidak akan terperanjat dengan kandungan kenyataan ini.
“Terutama sekali Anwar Ibrahim yang pernah menderita nasib yang sama pada tahun 1998,” tulis Kadir, bekas ketua pengarang media utama negara ketika bersama kerajaan Barisan Nasional sebelum ini menerusi facebook beliau.
Pun begitu, Kadir berkata “Harap-harap janganlah Covid-19 terus dijadikan kata basi (cliché) untuk muslihat politik.”
Saifuddin dalam reaksi segera kenyataan Zahid itu berkata, PKR mengambil maklum dan menghormati kenyataan yang telah dibuat presiden Umno hari ini.
“Pada masa yang sama, kami akan mengekalkan usaha ke arah mengembalikan mandat rakyat dengan kebersamaan ahli-ahli parlimen yang mendokong cita-cita dan harapan yang sama,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Zahid mengumumkan “gencatan politik” berikutan Covid-19 dan memberi fokus kepada agenda membantu rakyat.
“Saya ingin menegaskan beberapa pendirian Umno seperti mana berikut, melakukan gencatan politik (political ceasefire) bagi memastikan agenda menangani Covid-19 dan membantu rakyat yang sedang dihimpit kesusahan dan kegelisahan akibat hambatan ekonomi dapat ditangani dan diutamakan
“Mendokong kerajaan PN dalam memfokuskan agenda membantu rakyat dan negara mendepani pandemik Covid-19 serta kegawatan ekonomi,” kata Zahid petang semalam.
berita penuh: https://malaysiadateline.com/zahid-ulangi-sejarah-1998-terhadap-anwar/