Zuraida salahkan pembinaan jalan punca Ampang banjir besar

Zuraida salahkan pembinaan jalan punca Ampang banjir besar

Ahli Parlimen Ampang Datuk Zuraida Kamaruddin menyalahkan kerja-kerja pembinaan lebuh raya di kawasan berhampiran Ampang Jaya yang mengakibatkan banjir kilat ekoran tanah dan lumpur memasuki sungai dan saliran air.

Katanya, tanah dan lumpur daripada projek pembinaan itu dilonggok di dalam longkang dan sungai mengakibatkan saliran itu menjadi cetek lalu menyebabkan banjir.

“Saya difahamkan hujan turun selama lima jam membawa 140 mililiter hujan, sedangkan sungai di sini boleh tampung 60 mililiter. Jadi ia sudah menjadi dua kali ganda menyebabkan air itu melimpah keluar.

“Perkara ini berlaku kerana lumpur kerja-kerja pembinaan lebuh raya yang tersangkut di dalam sungai dan longang menyebabkan air pada saliran itu cepat naik.

“Kita akan pastikan kerja pembaikan dipercepatkan dan juga keseluruhan pembangunan lebuh raya itu tidak terjejas dengan kejadian ini,” katanya dipetik Bernama.

Kawasan yang terlibat adalah Jalan Hillview, Kampung Lembah Jaya Utara dan Lembah Jaya Selatan yang dinaiki air setinggi 1.5 meter akibat limpahan air dari longkang berhampiran kawasan berkenaan.

Dilaporkan sejumlah 801 individu daripada 162 keluarga terjejas akibat banjir itu dan telah dipindahkan ke Dewan MPAJ sejak kejadian berlaku pada 6 petang 22 November.

sumber : Malaysiadateline

COMMENTS