Pernah dikenali sebagai ‘budak kecil Ireland’ dalam filem Titanic, Reece Thompson, seorang pemuda dari Amerika Syarikat (AS) mendedahkan bahawa dia masih menerima pendapatan dari peranannya itu walaupun sudah 27 tahun berlalu.
Menerusi laporan Mirror UK, Thompson telah memainkan watak seorang penumpang kelas tiga yang meninggal secara tragis bersama ibu dan kakaknya dalam filem yang ditayangkan pada tahun 1997 itu.
Dalam babak tersebut, Thompson bersama ibu dan kakaknya di antara ramai yang menunggu pintu pagar utama kelas tiga dibuka. Namun, keluarga kecil itu tidak sempat sampai ke bot penyelamat dan jatuh ke dalam laut.
Walaupun peranan Thompson dalam filem itu sangat kecil, namun babak tersebut sangat menyedihkan kerana menggambarkan kematian ramai penumpang kelas tiga Titanic dalam tragedi itu.
Walaupun dia tidak begitu mengingati pengalaman semasa menjalani penggambaran filem tersebut, namun sumbangannya tetap dihargai apabila menerima cek royalti setiap tahun.
Kerjaya Thompson sebenarnya bermula sebagai model kanak-kanak selepas menandatangani kontrak dengan ejen bakat setelah memenangi satu pertandingan.
Ejen tersebut memberi pilihan kepada ibunya untuk memilih antara Thompson membintangi iklan stesen minyak atau memainkan watak dalam Titanic.
Walaupun iklan adalah pilihan selamat, ibunya memutuskan untuk mengambil risiko dengan menerima tawaran berlakon dalam Titanic. Keputusan itu ternyata membuahkan hasil apabila filem itu menjadi terkenal hingga ditonton oleh seluruh dunia. Kini, dia masih menerima cek royalti daripada filem tersebut.
“Pelik kerana ia tidak pernah terlintas dalam fikiran saya lagi. Ia bukan seperti, ‘Oh, bila saya akan mendapat cek ‘Titanic’ baharu?’ Apabila ia berlaku, ia seperti, ‘Oh, bagus, (ada) tambahan AS$100 (kira-kira RM418). Ada beberapa kali juga berlaku situasi seperti: ‘Oh, wow, itu cek $250 (kira-kira RM1,045). Mudah-mudahan, mereka terus mengingati saya kerana itu bermakna lebih banyak wang untuk saya.”
Baca juga: “Tengok bf kerja bawak lori, terus aku slow slow mintak break sebab taknak hidup susah”